KOTA KINABALU: Dua individu bertindak bersembunyi di dalam bilik air seawal jam 3 pagi bagi mengelakkan ditahan sepasukan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam satu Operasi Bersepadu di penempatan setinggan Salamat Bahagia Kampung Numbak di sini.
Semasa serbuan dibuat, pemilik di sebuah rumah atas air itu bertindak melengah-lengahkan masa untuk membuka pintu utama rumah dan sebaik pintu dibuka anggota serbuan segera menjalankan siasatan di dalam rumah terbabit.
Kedua-dua individu itu bersembunyi di dalam bilik air dan berdiam diri bagi mengelakkan ditahan bagaimanapun taktik terbabit berjaya dihidu pasukan serbuan sebelum kedua-duanya ditahan.
Hasil soal siasat mendapati salah seorang daripada mereka mengaku memiliki dokumen pegenalan diri bagaimanapun pasukan serbuan mendapati dokumen yang ditunjukkan adalah meragukan dan suspek dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut.
Sementara itu dalam satu lagi serbuan berasingan seorang lelaki warga China ditahan pasukan serbuan selepas didapati menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial serta permit kerja yang diberikan.
Suspek yang memiliki permit kerja di ladang menyalahgunakannya dengan bekerja sebagai tukang masak di salah sebuah restoran di Waterfront di sini.
Pengarah JIM Sabah Datuk Dr. Muhamad Sade Mohamad Amin berkata suspek adalah antara 62 individu yang ditahan di penempatan setinggan dan beberapa pusat hiburan serta restoran di Waterfront selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah.
“Kesemua tahanan termasuk 30 lelaki dan 26 wanita itu akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kita akan membuka kertas siasatan bagi menjalankan proses pendakwaan dan selepas selasai kita akan serahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Dalam pada itu Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman yang turut hadir dalam operasi itu berkata operasi kali ini adalah menyasarkan individu serta warga asing yang melanggar pas lawatan yang dipegang.
“Kita juga menjalankan penangkapan terhadap individu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan masuk ke dalam negara kita melalui lorong tikus.
“Jabatan Imigresen akan menjalankan soal siasat terhadap tangkapan bagi mengenalpasti laluan tikus yang digunakan oleh Pendatang Tanpa Izin (PTI) untuk masuk ke sini secara haram,” katanya.
Operasi Bersepadu bermula jam 10.30 malam Jumaat sehingga jam 4.30 pagi semalam dilaksanakan seramai 15 Pegawai Kanan dan 98 anggota itu dijalankan berdasarkan aduan serta rungutan orang awam berkenaan kehadiaran PTI di kawasan berkenaan.
Sepanjang tahun 2019, JIM Sabah berjaya melaksanakan sebanyak 1,159 operasi dan menjalankan pemeriksaan terhadap 28,555 individu.
Daripada jumlah itu, seramai 4,180 PTI yang ditahan dan 23 majikan ditangkap selepas melanggar peraturan yang ditetapkan.
Sumber: Utusan Borneo