Mengupah Pekerja Asing, Premis Hiburan Di Jalan Lintas Diserbu Polis

Polis melakukan pemeriksaan dalam serbuan dipremis hiburan berkenaan. – Gambar Ihsan IPD Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Sebuah premis pusat hiburan di Lintas Square, Jalan Lintas di sini yang dikesan mengambil pekerja warga asing diserbu sepasukan polis, awal pagi tadi.

Serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu pukul 1.30 pagi itu menahan empat lelaki warga Filipina yang bekerja di pusat hiburan berkenaan.

Empat lelaki yang bekerja di premis hiburan ditahan kerana bekerja secara haram. – Gambar Ihsan IPD Kota Kinabalu

Ketika dihubungi hari ini, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata pemeriksaan mendapati premis hiburan berkenaan mempunyai lesen untuk beroperasi.

“Pemeriksaan seterusnya empat lelaki warga Filipina ditahan kerana disyaki bekerja tanpa permit kerja yang sah serta tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kita turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun yang berperanan sebagai penjaga premis berkenaan,” katanya sambil menambah serbuan Op noda/cantas/tapis diketuai Asisten Superintendan Zahiruddin Zakaria.

Habibi berkata ketika serbuan itu juga, seramai 38 pengunjung di premis hiburan itu diperiksa dan hasil ujian air kencing mendapati semuanya tidak terbabit dengan kegiatan dadah.

Pegawai dan anggota menjalankan ujian saringan air kencing ke atas pengunjung di premis hiburan berkenaan. – Gambar Ihsan IPD Kota Kinabalu

Tambah beliau lagi tangkapan berusia 20 hingga 40 an dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tiada dokumen sah. – SabahNewsToday

1008