(VIDEO) Babun Jantan ‘Culik’ Anak Singa Jadi Tumpuan, Urus & Jaga Macam Anaknya Sendiri

Jika anda pernah menonton filem The Lion King, anda sudah tentu pernah melihat satu babak dimana Rafiki, seekor babun memegang Simba, seekor anak singa dihadapan kumpulan binatang di tengah-tengah savanah.

Rupanya-rupanya, babak berkenaan turut berlaku di dunia nyata apabila seekor babun di Taman Negara Kruger di Afrika Selatan mencuri tumpuan dengan ‘menculik’ anak singa dan menjaganya bagai anak sendiri, baru-baru ini.

Aksi yang berjaya dirakam oleh seorang jurugambar yang juga pemilik safari, Kurt Schultz dan menjadi viral di media sosial. Menurut Schultz, ia adalah sesuatu yang luar biasa dan tidak pernah dilihatnya sejak 20 tahun lalu.

Malah, Schultz turut memaklumkan babun itu melayan anak singa itu dengan baik sekali.

”Babun jantan memang dilihat selalu menjaga anaknya tetapi apa yang dilakukan terhadap anak singa ini sama seperti kasih sayang yang diberikan oleh babun betina terhadap anaknya,” katanya.

Babun itu juga dilihat sering berpindah dari satu pokok ke satu pokok manakala anak singa itu kelihatan sedikit penat dan menunjukkan tanda-tanda dehidrasi.

Menurut Schultz, babun itu mungkin menemui anak singa itu sendirian memandangkan kumpulan singa sering meninggalkan anak-anak ketika keluar memburu.

Walaupun Rafiki di dalam The Lion King digambarkan mampu menjaga Simba dengan baik, Schultz meragui babun dalam dunia nyata boleh melakukan perkara yang sama.

Babun berkenaan juga merupakan sebahagian daripada ahli kumpulan babun yang besar dan ini menimbulkan kebimbangan sama ada anak singa itu mampu bersatu kembali dengan kumpulan singa asalnya.

Sebelum ini, Schultz berkata terdapat kes dimana babun bertindak membunuh anak singa dilaporkan berlaku.

Sumber: Insider / SiakapKeli

1330