Dia Muhammad Sajjad Bin Kamaruz Zaman

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri

KUALA LUMPUR: Usahawan kosmetik kontroversi Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat didapati dilahirkan dan didaftarkan sebagai lelaki.

Maklumat itu diperolehi hasil pertemuan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kelmarin.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, “Berdasarkan maklumat pengesahan daftar kad pengenalan penama yang diperoleh melalui JPN, nama yang tertera adalah Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman.

“Jantina penama didaftarkan sebagai lelaki. Semakan lanjut pada sijil kelahiran beliau juga mendapati penama dilahirkan sebagai lelaki,” katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook, semalam.

Zulkifli berkata, sehingga kini, tidak ada dokumen rasmi perubatan yang dikemukakan oleh Nur Sajat bagi membuktikan beliau adalah wanita.

“Berdasarkan Arahan Jabatan Pendaftaran Negara Bil. 9/2007 perenggan 5.7.1, pindaan jantina dalam kad pengenalan adalah tidak dibenarkan kecuali atas perintah mahkamah,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa PMWP tidak pernah terbabit dalam pengesahan identiti Nur Sajat yang diuruskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2018.

Katanya, pengesahan jantina membabitkan pakar perubatan dan ia berada di bawah urusan Jakim.

“Hanya atas dasar amanah dan tanggungjawab maka, PMWP mengambil inisiatif bertemu JPN semalam (kelmarin) bagi mendapatkan pengesahan butiran lengkap beliau yang tersebar di media sosial,” katanya.

Sementara itu, Dr Zulkifli berkata, agensi pengelola umrah yang menguruskan ibadah umrah ahli perniagaan itu wajib bertanggungjawab ke atas isu yang berlaku.

Beliau berkata, pihak berkenaan sepatutnya memelihara dan membimbing jemaah supaya mengikut hukum syarak serta undang-undang setempat.

“Mereka juga perlu sentiasa memberi panduan serta peringatan kepada jemaah agar menepati kehendak ibadat itu sendiri.

“(Jadi dalam isu ini) agensi wajib bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya.

Dr Zulkifli berkata, perbuatan mengenakan pakaian bukan mengikut jantina asal tetap haram dan dikira berdosa, walaupun mematuhi rukun umrah.

Malah, katanya, usahawan itu boleh dikenakan dam kerana melanggar wajib umrah dan masalah itu disebut oleh fuqaha sebagai infikak al-jihah (hukum yang terpecah kepada beberapa bahagian).

Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-28 Musim Haji 1433H menerusi kertas kerja bertajuk Khunsa dan Mukhannas Dalam Permasalahan Ibadat Haji juga menyimpulkan bahawa bagi mukhannas (transgender) semula jadi atau yang disengajakan supaya mengikut hukum asal kejadian dirinya.

“Dalam konteks isu ini, Muhammad Sajjad wajib secara syarak sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran dan hadis untuk beribadah dan berpakaian seperti lelaki,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *