Tampar Perut Polis, Guru Ditahan Di Lahad Datu

LAHAD DATU: Guru lelaki diberkas kerana menampar perut seorang anggota polis yang sedang menjalankan tugas di padang bola sepak Bandaran Lahad Datu, dekat Lahad Datu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, suspek berusia 54 tahun dilaporkan turut menolak anggota polis terbabit yang berpangkat Inspektor.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sebelum kejadian, anggota polis berkenaan sedang menjalankan tugas membuat tangkapan ke atas seorang lelaki, 20-an.

Katanya, individu itu diburu kerana disyaki terbabit kes pukul, pecah kereta dan curi yang disiasat mengikut Seksyen 323, 379 dan 427 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, guru sekolah rendah itu dilaporkan menghalang anggota polis menjalankan tugas.

“Guru lelaki itu dilaporkan menolak dan menampar perut anggota polis sebanyak dua kali tanpa sebab yang munasabah.

“Justeru, guru terbabit ditangkap untuk tindakan lanjut lalu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bersama-sama suspek diburu terbabit.

“Siasatan mendapati, guru itu adalah bapa saudara suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nasri berkata, kes guru itu disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Harian Metro

17713