MKN Sabah Sasar Lebih 13,000 Pendatang Diusir Tahun Ini

Antara pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang telah dihantar pulang ke negara asal.

SANDAKAN, 5 Feb: Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah menyasarkan lebih 13,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) akan dihantar pulang ke negara asal masing-masing pada tahun ini.

Pengarahnya, Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, langkah bagi mencapai sasaran itu akan dilaksanakan bersama Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

“Tahun lepas, lebih kurang 13,000 pendatang dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

“Usaha mengusir pendatang merupakan keseriusan kerajaan dalam menangani masalah pendatang ke negara ini,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan proses penghantaran pulang 779 PATI warganegara Filipina melalui Pelabuhan Sandakan, dekat sini. malam tadi.

Sh Sitti Saleha berkata proses penghantaran pulang dilakukan setiap minggu bagi mengurangkan kapasiti di Pusat Tahanan Sementara (PTS).

Beliau turut memberitahu seramai 1,994 PATI di Sabah diusir sejak awal tahun ini dengan lapan proses penghantaran pulang dilaksanakan.

“Ini menjadikan jumlah pendatang yang diusir dari Sabah sejak 1990 adalah sebanyak 593,251 orang melalui jalan laut dan udara,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Dr Mohamad Sade Mohamad Amin berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam operasi bersama untuk mencari dan menangkap PATI.

“Sebenarnya, Jabatan Imigresen menyasarkan 77,000 pendatang ditangkap di seluruh negara sepanjang tahun ini dan daripada jumlah itu, sebanyak 7,000 disasarkan untuk Sabah.

“Bagaimanapun, dengan pelaksanaan operasi bersama agensi lain secara berterusan, kami yakin boleh mengatasi angka sasaran itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Sade berkata jabatan itu akan berbincang dengan Lembaga Pelabuhan Sabah dan Jabatan Dermaga dan Pelabuhan Sabah bagi melancarkan prosedur pemeriksaan kapal yang berlabuh di Pelabuhan Sandakan. 

Menurutnya, pusat pemeriksaan imigresen dan kastam di Pelabuhan Sandakan berkedudukan jauh dari tempat berlabuh kapal iaitu jarak kira-kira 500 meter berbanding pelabuhan lain di negeri ini.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *