Jari Murid Tersepit Pada Lubang Kerusi

Anggota bomba memotong kerusi untuk mengeluarkan jari kanak-kanak tujuh tahun yang tersepit.

KOTA KINABALU: Seorang murid perempuan terpaksa menahan kesakitan hampir 30 minit apabila jari telunjuk tangan kirinya tersepit pada lubang kerusi di sekolahnya di Manggatal, di sini, hari ini.

Mangsa Nafiqa Abdullah, 7, berusaha mengeluarkan jarinya dengan dibantu guru dan ibunya termasuk menggunakan minyak namun gagal.

Berikutan itu, pasukan bomba dipanggil bagi membantu mengeluarkan jari mangsa terbabit.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Zainuddin Saidi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jari seorang murid tersepit di lubang, jam 12.50 tengah hari.

“Sebuah jentera dan EMRS dengan kekuatan lima anggota bergegas ke lokasi kejadian dan didapati jari telunjuk tangan kiri murid perempuan tersepit pada lubang kerusi plastik di makmal sekolah.

“Susulan itu, pasukan bomba bertindak menggunakan gergaji besi dan playar. Ketika itu mangsa menangsi kesakitan namun berjaya ditenangkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, jari mangsa berjaya dikeluarkan dan seterusnya diberi rawatan awal anggota EMRS.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas untuk rawatan lanjut.

“Operasi menyelamat tamat sepenuhnya jam 1.49 petang tadi,” katanya.

SabahNewsToday

437