Wanita Cedera, Kereta Terbabas Masuk Gaung

Keadaan kereta Perodua Axia yang terjatuh ke dalam gaung dan terbalik di Inanam.

KOTA KINABALU: Seorang wanita selamat meskipun kereta dipandunya terbabas dan terjatuh ke dalam gaung setinggi 15 meter di Jalan Sekolah Kebangsaan (SK) Keronggu Inanam, di sini pagi tadi.

Mangsa berusia 28 tahun dikatakan dari rumahnya di Kampung Pomotodon menuju ke SK Keronggu untuk mengambil anak perempuannya yang belajar di sekolah berkenaan.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Perodua Axia dipercayai terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung dan terbalik.

Keadaan kereta Perodua Axia yang terjatuh ke dalam gaung dan terbalik di Inanam

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 11.36 pagi, sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, didapati sebuah kereta Perodua Axia terbabas dan terjatuh ke dalam gaung setinggi 15 meter dari jalan utama.

“Terdapat seorang wanita berjaya dikeluarkan dan diberi rawatan awal oleh anggota EMRS sebelum diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan susulan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa hanya mengalami cedera ringan dan dihantar ke hospital berhampiran.

“Pasukan bomba kemudian membuat pemeriksaan keselamatan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada lagi bahaya lain.

“Operasi menyelamat tamat pada pukul 12.58 tengah hari tadi,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *