(VIDEO) Bomoh Ular Maut

Norjani masih menjinakkan ular meskipun baru dipatuk oleh ular tedung selar.

Kalimantan Barat: Seorang bomoh ular, Norjani menemui ajalnya selepas dipatuk ular ketika beraksi menjinakkan seekor ular tedung selar, Ahad lalu.

Kematian lelaki itu mendapat liputan meluas dan menjadi bualan ramai.

Kejadian Norjani dipatuk ular sempat dirakam dalam video berdurasi 3 minit 13 saat sebelum ia tular di media sosial.

Tribune News melaporkan, mangsa yang menetap di Kampung Pak Utan, Toho daerah Mempawah itu melakukan aksi menjinakkan ular berkenaan, Sabtu lalu.

Ketika melakukan aksi yang diperhatikan orang ramai itu, ular terbabit tiba-tiba mematuk bahagian tangan kanan lelaki itu diikuti keningnya.

Selepas kejadian, lelaki terbabit dikatakan menolak untuk dirawat di klinik.

Dia dilihat masih tersenyum selepas dipatuk dua kali, malah sempat menepuk-nepuk kepala ular sepanjang lima meter itu sebelum menyerahkan reptilia itu kepada orang ramai.

Ketua Kampung Pak Utan dikenali sebagai Samuel berkata, Norjani digelar bomoh ular berikutan kemahirannya mengendalikan reptilia itu.

Katanya, Norjani menetap bersama anaknya selepas isteri meninggal dunia.

“Dia membuat sebuah pondok di gunung tempat dia menoreh getah dan berladang.

“Biasanya, dia juga menangkap ular dan disimpan di pondoknya itu sebelum melakukan aksi bersama haiwan itu,” katanya.

Menurutnya, seminggu sebelum kejadian, Norjani menangkap seekor ular tedung selar.

“Biasanya, sebelum melakukan aksi, Norjani akan membuang terlebih dulu bisa ular itu dalam gelas sebelum dibawa beraksi.

“Kemungkinan bisa ular itu belum habis dibuang sepenuhnya menyebabkan patukan ular itu meracuni Norjani,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Toho Dede Hasanuddin berkata, mangsa yang demam sekitar jam 6.30 petang waktu tempatan dikejarkan ke klinik berdekatan.

“Mangsa sempat mendapatkan rawatan, namun meninggal dunia selepas itu.

“Ular itu pula dibunuh keluarga Norjani,” katanya mengesahkan kejadian itu kepada Kompas.com – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *