Koronavirus: Angka Kematian Meningkat Kepada 132 Orang

Jururawat mengambil suhu badan pesakit ketika ditemui di sebuah hospital di Yueyang. – Foto Reuters

BEIJING: Angka kematian akibat jangkitan coronavirus di China terus meningkat kepada 132 orang dengan 1,500 kes baharu dikesan.

Ini sekali gus memberi tekanan kepada Beijing untuk mengawal penularan virus berkenaan ketika Rumah Putih menimbang untuk menggantung semua penerbangan ke negara itu.

Rumah Putih mengadakan mesyuarat harian membincangkan penularan penyakit berkenaan dan memantau penerbangan antara China-Amerika Syarikat (AS).

Pegawai AS berkata, pentadbiran negara tidak mengambil apa-apa pilihan di luar rundingan termasuk larangan sementara penerbangan jika data kesihatan awam menyokong kepada langkah itu.

Kebimbangan terhadap penyebaran virus mendorong syarikat penerbangan di seluruh dunia mengurangkan penerbangan ke China, manakala syarikat global pula menyekat perjalanan kakitangan mereka ke negara berkenaan.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China hari ini berkata, 26 kes kematian baharu dicatat semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 132 orang, manakala jumlah kes dijangkiti 1,459 menjadikan jumlah keseluruhan 5,974 orang. – Reuters

1245