Nelayan Maut Ketika Melintas

Keadaan di tempat kejadian.

KOTA KINABALU: Seorang nelayan warga Filipina maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan dalam kejadian di Jalan Coastal, dekat Sinsuran, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.15 malam itu, mangsa Alexander Tayros Suminggit, 56, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke penginapannya selepas makan di sebuah restoran berhampiran.

Kereta Perodua Rusa remuk dalam kemalangan semalam di sini. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Rusa dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun dalam perjalanan dari Sinsuran menuju ke Inanam.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, pemandu yang memandu di lorong kiri dipercayai terlanggar mangsa yang melintas jalan dari arah kanan ke kiri secara tiba-tiba.

“Akibat kejadian itu, mangsa terbaring di atas jalan selepas parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia oleh doktor dari Hospital Queen Elizabeth I (HQE I),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai daripada kecuaian mangsa kerana melintas pada tempat yang tidak dibenarkan.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HQE I untuk bedah siasat.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *