Henti Sebar Maklumat Palsu – KPN

Hamid Bador

KUALA LUMPUR: Henti sebar maklumat palsu dan menakut-nakutkan orang ramai berhubung wabak koronavirus baharu di negara ini.

Itu amaran Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang menyifatkan ia perbuatan tidak bertanggungjawab individu tertentu dan mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Sekarang terlalu ramai sangat ‘doktor pakar’ dalam kalangan masyarakat kita, ada ‘doktor separuh masak’ yang mengeluarkan pendapat sendiri.

“Entah daripada mana sumber diperoleh tidak diketahui asal-usulnya selepas itu disebar secara meluas sekali dengan memberi nasihat untuk menakutkan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan video korporat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kuala Lumpur, hari ini.

Abdul Hamid berkata, orang ramai seharusnya mendapatkan maklumat sahih daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk perkembangan mengenai wabak berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan KKM dan beberapa agensi lain bagi menangani isu berkaitan wabak itu dan setakat ini ia ditangani dengan baik.]

Harian Metro

669