KLANG: Wabak koronavirus di negara ini belum memasuki tahap serius dan pihak berkuasa belum merancang untuk melarang kemasukan pelancong dari Wuhan, China ke negara ini.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata ini berikutan jangkitan coronavirus baharu dikenali sebagai 2019-nCoV di negara ini masih belum sampai ke tahap kritikal.
Beliau berkata, kebanyakan negara sudah mengambil langkah tertentu berikutan itu situasi serius kerana virus ini tidak dikenali sebelum ini.
Katanya, Kementerian Kesihatan juga menjalankan pemeriksaan yang membolehkan tiga pelancong yang dijangkiti di Johor dapat dikesan.
“Persoalannya manusia mengembara dan dengan sangat pantas. Sebelum sempat kita mengesan pesakit mereka sudah tiba di destinasi.
“Jadi, kita kena terima tidak mungkin kawalan sepenuhnya boleh dilakukan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2020 anjuran Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Persatuan-persatuan Cina Klang di Persatuan Hokkien Klang.
Dr Mahathir berkata, Kementerian Kesihatan juga menyaring rakyat Malaysia yang berada di China sejak beberapa hari lalu sebelum memasuki semula negara ini untuk memastikan mereka tidak menyebarkan penyakit berkenaan.
Pagi tadi, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata seramai 87 rakyat Malaysia yang pulang dari Wuhan dan sekitar wilayah Hubei bersempena cuti Tahun Baharu Cina, setakat ini bebas jangkitan coronavirus 2019-nCoV.
Katanya, mereka yang pulang dari China menjalani saringan kesihatan di pintu masuk negara sebaik saja tiba.
Katanya, mereka juga diminta hadir ke klinik kesihatan jika mengalami gejala jangkitan.
Berita Harian