Mayat Nelayan Hilang Ditemui Terapung Di Sungai Anib

Mayat mangsa ditemui tiba di jeti Maritim Sandakan.

SANDAKAN: Mayat nelayan yang dilaporkan hilang ketika memancing tiga hari lalu ditemui terapung berhampiran Sungai Anib, Kampung Forest, di Sandakan, pagi ini.

Mayat Joekinal Angkalamai, 36, ditemukan orang awam pada jam 6.39 pagi, sebelum memaklumkan kepada pasukan penyelamat.

Difahamkan, tiada kecederaan ditemui pada mayat mangsa dan dipercayai mati lemas.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, mayat dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Sandakan untuk diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Duchess Of Kent Sandakan.

“Mayat dikenal pasti sebagai Joekinal Angkalamai, 36 yang dilaporkan hilang tiga hari lalu selepas pengecaman dibuat oleh isteri dan bapa mentua yang hadir di Jeti Maritim Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari ketiga pada hari ini membabitkan dua bot dari Maritim Malaysia dan dua bot dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Turut menyertai SAR ialah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (BOMBA) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) masing-masing menghantar sebuah bot dengan pencarian seluas 29 batu nautika persegi.

“Kami merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi serta komuniti nelayan yang membantu dalam pencarian mangsa,” katanya operasi ditamatkan pada 8 pagi ini.

Khamis lalu mangsa keluar memancing bersendirian menggunakan sampan tanpa enjin di perairan Bandar Ramai-Ramai Sandakan dan tidak pulang rumah.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *