58 Orang Diberkas, Polis KK Terus Gempur Sarang Dadah

Anggota polis memeriksa seorang lelaki disyaki penagih dadah dalam Ops Ice Breaker di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Polis menahan seramai 58 individu, termasuk tiga pengedar dadah menerusi Ops Ice Breaker, di sekitar Kota Kinabalu, yang bermula 18 Januari lalu dan berakhir semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata kejayaan terbesar dalam operasi itu apabila menahan dua lelaki disyaki pengedar dadah di sebuah rumah di Jalan Sepanggar, di sini.

“Kedua-dua suspek berusia lingkungan 30 dan 40 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Suspek lelaki disyaki penagih dicekup polis ketika cuba melarikan diri.

“Sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Habibi berkata, daripada jumlah itu juga, seorang suspek disiasat mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952 membabitkan kategori bekalan dan pengedaran dadah.

“Seterusnya, 16 individu bagi kesalahan memiliki dadah iaitu disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952. Diikuti 39 individu yang didapati urin positif dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(A) akta sama.

“Seramai 48 individu yang ditahan adalah warga tempatan dan 10 yang lain warga asing.

“Semua ditahan berusia lingkungan 13 hingga 62 tahun,” katanya.

Menurutnya dalam tempoh operasi itu juga, polis merampas sebanyak 62.80 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM9,300 mengikut harga pasaran semasa.

Anggota polis memeriksa seorang lelaki disyaki penagih dadah dalam Ops Ice Breaker di Kota Kinabalu.

Katanya operasi yang dijalankan secara berterusan ini adalah salah satu usaha untuk mengurangkan kadar jenayah pada musim perayaan.

“Usaha untuk membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar daerah ini sentiasa diperhebat dari masa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman awam.

“Bantuan orang awam juga diperlukan dengan menyalurkan maklumat ke hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-529220 untuk tindakan polis,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *