Pusat Refleksologi Tawar Seks Diserbu, Enam Wanita Warga Asing Ditahan

Enam wanita warga asing disyaki pelacur ditahan pasukan D7 IPK Sabah dalam Ops Noda, di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Kegiatan pelacuran berselindung di sebalik pusat refleksologi, terbongkar dalam serbuan Ops Noda di sebuah premis di Jalan Coastal, di sini, semalam.

Serbuan jam 12.10 tengah malam dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, berjaya menahan enam wanita disyaki pelacur dan seorang lelaki dipercayai pelanggan premis itu.

Pegawai Turus D7 IPK Sabah, Deputi Superintendan Alhusin Halil berkata, ketika serbuan di sebuah bilik di premis berkenaan menemui seorang lelaki dipercayai pelanggan bersama seorang wanita warga asing.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan turut menemui barang-barang yang disyaki digunakan untuk kegiatan pelacuran iaitu kondom, tuala dan tisu.

“Susulan itu, anggota D7 turut menahan lima lagi wanita warga asing disyaki pelacur,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Alhusin berkata pihaknya turut merampas sejumlah wang RM300 yang diberikan oleh pelangggan kepada wanita terbabit dipercayai sebagai upah perkhidmatan seks.

Wanita bersama seorang pelanggan lelaki ditahan di dalam bilik di premis berkenaan.

“Semua wanita yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun manakala pelanggan lelaki itu berusia 27 tahun.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Karamunsing untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sehubungan itu, Alhusin berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti maksiat dan pelacuran atau sebarang aktiviti menyalahi undang-undang supaya disalurkan kepada pihak polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam kegiatan persundalan,” katanya.

SabahNewsToday