Laporan Polis Dibuat Terhadap Papagomo

KOTA KINABALU: Satu laporan polis dibuat terhadap Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo berhubung tindakannya mengaitkan Parti Warisan Sabah (Warisan) dengan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui satu video berdurasi 31 saat.

Laporan tersebut dibuat Timbalan Ketua Warisan Bahagian Kota Belud, Charles L.R.M Ebbie di Balai Polis Kota Belud pada pukul 9.41 pagi semalam.

Dalam laporannya, Charles meminta pihak polis mengambil tindakan terhadap Papagomo kerana kenyataannya itu bersifat fitnah dan boleh menimbulkan pergaduhan.

“Laporan ini dibuat bertujuan agar tindakan tegas dapat diambil ke atas Papagomo yang mana kenyataannya boleh mencetuskan ketidakpuasan hati serta pergaduhan,” kata Charles dalam laporan itu.

Turut hadir ialah ahli jawatankuasa pimpinan Warisan bahagian iaitu Willis Chin Ching, Pele Wakah dan Naumul Maulud serta setiausaha kerja bahagian, Mohd. Fandi Abdullah.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berlainan, Charles mengutuk tuduhan Papagomo yang mendakwa kononnya individu yang menyerangnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bukan rakyat Sabah tulen sebaliknya penyokong Ketua Menteri.

Tegasnya, tindakan Papagomo melabelkan individu yang memukulnya itu sebagai ‘samseng Shafie’ amat biadab dan menjejaskan imej Ketua Menteri.

“Serangan dan tindakan tidak mematuhi undang-undang yang kononnya diarahkan oleh datuk seri tidak betul.

“Serangan itu yang dikatakan diupah oleh datuk seri sehingga menyebabkan kecederaan juga tidak betul,” katanya.

Ahad lalu, Papagomo yang berada di KKIA diserang oleh beberapa lelaki yang tidak dikenali identiti mereka, namun kes itu kini dalam siasatan polis.

Sebelum ini, ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Papagomo membawa budaya politik samseng ke negeri ini apabila mengoyakkan gambar Ketua Menteri.

Tindakannya itu menimbulkan kemarahan rakyat Sabah memandangkan budaya politik samseng bukanlah amalan biasa rakyat Sabah.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *