KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat menasihatkan orang ramai agar tidak panik dengan pelbagai maklumat tidak sahih di media sosial berkenaan penularan virus korona yang berasal dari Wuhan, China.
Menterinya, Datuk Frankie Poon berkata, pemeriksaan ketat sentiasa dilakukan Jabatan Kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) terhadap pelancong yang datang dari Wuhan sejak 5 Januari lalu.
Katanya, dalam tempoh itu, seramai 4,003 penumpang dan kru kapal yang menaiki penerbangan terus dari Wuhan telah diperiksa dan hasilnya adalah negatif.
“Berdasarkan saringan yang dibuat, belum ada penumpang dan kru yang dikesan demam semasa proses saringan di pintu ketibaan.
“Pemantauan yang dilakukan adalah saringan demam menggunakan thermo-scanner dan pemberian Health Alert Card (HAC) kepada semua penumpang dari Wuhan, China,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, tular tentang seorang pelancong dari China yang disyaki menghidap virus korona dan telah ditempatkan di wad berasingandi sebuah hospital di Kota Kinabalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan semalam bagaimanapun mengesahkan mangsa hanya menghidap Influenza A bukannya virus korona yang kini menjadi wabak antarabangsa.
Menurut Noor Hisham, perkara itu disahkan hasil ujian oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).
Sementara itu, Poon berkata, taklimat juga diberikan kepada semua agensi di KKIA berkaitan virus korona oleh pegawai di Pejabat Kesihatan KKIA.
“Kakitangan di lapangan terbang yang mengesyaki penumpang sakit terutama demam akan dirujuk kepada pegawai di Pejabat Kesihatan KKIA untuk verifikasi, pemeriksaan dan seterusnya akan dirujuk kepada pakar perubatan penyakit berjangkit di Hospital Queen Elizabeth (HQE) atau Hospital Wanita dan Kanak-kanak (HWKKS),” jelasnya.
Virus korona adalah virus baru yang mula dikesan di Wuhan, China. Punca jangkitan virus itu masih dalam siasatan dan belum dapat dikenal pasti dengan jelas, namun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan bahawa virus tersebut boleh berjangkit antara manusia.
Sehingga 23 Januari, sebanyak 633 kes telah disahkan dan dilaporkan diseluruh China dan 10 kes disahkan dan dilaporkan diluar China seperti Thailand (dua kes), Korea Selatan (satu kes), Jepun (satu kes) Amerika Syarikat (satu kes) dan Vietnam
(dua kes). Singapura adalah negara yang baharu melaporkan sebanyak satu kes.
Sebanyak 17 kes kematian telah dilaporkan di Wilayah Hubei, China sehingga kini.
Untuk langkah pencegahan, orang ramai disaran supaya mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, mengamalkan amalan kerap mengamalkan mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun, mengamalkan adab batuk yang baik seperti menggunakan sapu tangan, mengurangkan aktiviti luar atau berada di tempat yang sesak dengan orang ramai.
Orang ramai yang mengalami batuk dan selesema tidak digalakkan untuk berada di tempat awam yang sesak dan digalakkan memakai penutup hidung dan mulut.
Manakala, pelancong atau penduduk yang mempunyai gejala demam selepas pulang dari Wuhan, China dinasihatkan segera untuk mendapatkan rawatan di hospital atau klinik dan dinasihatkan untuk memakai penutup hidung dan mulut.
BorneoToday