Kemukakan Idea Baharu Ganti PSS

Gambari fail, sebahagian pendatang tanpa izin yang ditahan. Foto Esscom

SANDAKAN: Pihak yang membantah cadangan Pas Sementara Sabah (PSS) perlu tampil dengan idea membina bagi menangani kewujudan lebih 1.2 juta pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

Pengerusi AMANAH Sabah, Haris Alimudin, berkata PSS membolehkan satu dokumen tunggal yang diiktiraf sebagai pengenalan rasmi PATI.

“Pada masa sama, PSS ‘memaksa’ mereka mendaftarkan diri dan memberikan peluang kepada pihak berkuasa mengetahui jumlah sebenar serta keberadaan warga asing di Sabah.

“PSS juga diyakini mampu mengatasi masalah pemalsuan dokumen yang sejak sekian lama berlaku,” katanya.

Bagaimanapun kata Haris, PSS sudah dipolitikkan sehingga fakta sebenar dan niat baik kerajaan diselewengkan.

Katanya, kesan pembatalan cadangan PSS akan menyebabkan masalah pendatang asing sejak puluhan tahun lalu masih tidak dapat diselesaikan.

Pembatalan PSS juga dijangka akan diikuti dengan operasi besar-besaran menghantar balik semua pendatang asing.

“Pengalaman sebelum ini menunjukkan proses ini akan mengambil waktu yang lama dan kos yang besar kepada kerajaan,” katanya.

Haris berkata, tidak dapat dinafikan Sabah masih banyak bergantung kepada tenaga kerja asing termasuk PATI dan kesan besar kepada ekonomi negeri pasti berlaku.

Justeru, Kerajaan Sabah dan Persekutuan diharap dapat merangka suatu dasar baharu yang holistik dan menyeluruh selepas pembatalan cadangan PSS ini.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *