Seorang pembantu rumah didakwa sengaja mencederakan anak majikannya berusia 16 bulan agar dia boleh pulang ke negaranya segera, ditahan polis.
Polis menerima maklumat mengenai kejadian itu yang berlaku pada jam 10.50 pagi 14 Januari 2020 di Block 992B Buangkok Link, Singapura.
“Wanita berusia 30 tahun berasal dari Myanmar itu ditahan sehari selepas kejadian itu berlaku,” kata jurucakap polis yang juga memaklumkan siasatan sedang dijalankan.
Ibu mangsa, Amy Low, 40, turut berkongsi gambar-gambar kecederaan yang dialami anak perempuannya di akaun media sosialnya.
Menurut Amy, dia dan suaminya keluar bekerja pada waktu tengah hari, meninggalkan dua anak perempuannya bersama pembantu rumah itu yang mula bekerja dengan mereka sejak 7 Disember 2019.
“Pada pukul 5.20 petang, anak perempuan saya yang berusia 8 tahun menghubungi bapanya dan beritahu adiknya mengalami luka melecur.
“Kami terkejut dan terus pulang lalu membawanya ke klinik berhampiran.
Tetapi disebabkan kecederaan yang dialami mangsa adalah serius, doktor merujuk kes itu ke hospital besar,” katanya.
Sebelum ini Amy pernah memaklumkan kepada pembant rumah untuk tidak membawa anak-anaknya ke dapur ketika dia sedang memasak atas dasar keselamatan.
Pembantu rumah itu menjelaskan dia mendukung mangsa sambil memasak. Namun secara tidak sengaja tangan mangsa tersentuh periuk mendidih.
Amy percaya dengan alasan itu tetapi tidak bagi doktor kerana kecederaan mangsa tidak seperti yang digambarkan.
Keadaan menjadi semakin pelik bila mana wanita itu mula mengemas semua pakaiannya dengan alasan mahu segera pulang ke pangkuan ejennya.
Amy yang belum mengesyaki apa-apa memujuk dia untuk terus kekal tinggal dengan mereka. Malah tidak menyalahkan pembantu rumah itu di atas apa yang berlaku.
Amy memaklumkan kepada ejen pembantu rumah mengenai perkara itu dan ejen itu berjanji akan hantar seseorang untuk mengambil pembantu rumah itu.
Di saat itu, timbul rasa curiga si ibu yang mahu memeriksa video CCTV. Alangkah terkejutnya si ibu apabila dia mengetahui apa sebenarnya yang telah berlaku.
“Apa yang saya saksikan adalah amat mengerikan. Dia sengaja melakukannya! Jelas sekali itu bukan kemalangan yang tidak disengajakan! Dia ambil tangan anak saya dan celup ke dalam periuk mendidih.
“Saya menggigil tengok semua itu dan segera membuat laporan polis. Sementara tunggu kedatangan polis, saya maklumkan kepada ejen apa yang sebenarnya telah berlaku.
Tetapi ejen itu gelisah dan menegaskan kami patut pulangkan pembantu rumah itu kepada mereka dan ‘kes ditutup macam tu je’,” katanya.
Berdasarkan video CCTV, pembantu rumah itu dilihat sedang mendukung mangsa sambil memasak dalam kedudukan yang sangat dekat dengan periuk mendidih itu sebelum mencelup tangan mangsa ke dalam periuk itu yang menyebabkan mangsa menangis.
Amy kemudian berdepan dengan pembantu rumahnya itu. Wanita itu berkata dia mahu pulang ke rumah dan rakannya yang mengajar dia berbuat demikian agar dia dapat pulang segera ke negaranya.
“Apabila saya tanya adakah ejen dia juga terlibat dalam hal ini, dia kata ya. Ejen itu memberitahu yang dia boleh pulang ke rumah jika dia melakukan perbuatan itu,” katanya.
Dua minggu sebelum itu, pembantu rumahnya ada menyuarakan hasrat untuk pulang ke negaranya. Tetapi segalanya selesai apabila dia berbincang dengan ejen.
Amy kini sedang berusaha menuntut keadilan untuk anaknya.
Sumber: Stomp