Kalabakan Akan Dibangun Sebagai Hab Agro Makanan Sabah

Ma’mun (dua kiri) menerima sijil watikah pelantikan presiden kehormat PPK Kalabakan daripada Saharuddin.

KALABAKAN, 22 Jan: Tanah seluas 1,200 hektar di Luasong di sini akan dibangunkan sebagai kawasan pertanian campuran pada Jun ini dalam usaha menjadikan Kalabakan sebagai hab agro makanan di Sabah.

Anggota Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman berkata pembangunan hab itu adalah cadangan daripada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub sendiri.

“Pastinya, cadangan membangunkan tanah di Luasong itu sudah lulus, hanya tinggal pelaksanaan, dan apa jenis tanaman yang dimajukan di sini, akan diputuskan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Ramah Mesra dan Penyerahan Watikah Pelantikan Presiden Kehormat PPK Kalabakan di Mini Dewan Pertubuhan Peladang Kawasan Kalabakan di sini, hari ini.

Sehubungan itu Ma’mun menasihatkan generasi muda dalam Parlimen Kalabakan agar mengambil peluang untuk terlibat dengan aktiviti pertanian berasaskan teknologi seperti kaedah fertigasi.

“Kita minta persatuan peladang membantu menarik golongan belia berpengetahuan untuk terlibat dengan bidang pertanian,” katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *