KDN Setuju Keputusan Sabah Batal PSS

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil pendirian yang sama dengan kerajaan negeri Sabah berhubung pembatalan Pas Sementara Sabah (PSS).

KDN dalam kenyataan hari ini berkata ia mengambil maklum keputusan kerajaan negeri Sabah membatalkan pelaksanaan PSS melalui mesyuarat Kabinet negeri yang diadakan semalam.

“Memandangkan keputusan pelaksanaan PSS ini adalah persetujuan bersama kerajaan negeri Sabah dan kerajaan pusat melalui Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-Induk), maka pihak kementerian selaku penyelaras mengambil pendirian sama dengan kerajaan negeri Sabah berhubung pembatalan PSS,” katanya.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semalam mengumumkan pembatalan keputusan pelaksanaan PSS yang diputuskan pada mesyuarat jemaah menteri negeri itu, dan akan memaklumkannya kepada KDN.

Menurut KDN, perkara itu diputuskan kerajaan negeri Sabah selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

Pada September 2019, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah dan mengumumkan pelaksanaan PSS bermula 1 Jun tahun ini bagi menggantikan tiga dokumen dikeluarkan kepada warga asing tinggal lama di Sabah iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung.

KDN dalam pada itu menegaskan tindakan penyelesaian berhubung isu pelarian di Sabah adalah komitmen bersama kerajaan negeri Sabah dan kerajaan pusat.

“Ia mesti dilaksanakan secara berterusan dengan lebih teliti dan berhati-hati tanpa menjejaskan hak warganegara, kepentingan dan keselamatan rakyat di Sabah,” katanya.

Harian Metro

1652