
KOTA KINABALU: Tindakan pantas seorang lelaki memberhentikan kereta menyelamatkannya selepas kenderaan dipandu tiba-tiba terbakar dalam kejadian di tepi Jalan Bantayan Minintod, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, pemandu lelaki berusia 30-an dalam perjalanan dari Inanam ke Jalan Bantayan Minintod, sebelum kakinya merasa panas di bahagian pedal minyak.
Dia memperlahankan kereta sebelum api keluar lalu memberhentikannya di bahu jalan dan cuba mencari air untuk memadam api tetapi gagal.

Sejurus itu, dia terus menghubungi talian kecemasan untuk bantuan.
Penyelia Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Rozam Shah Rahmat berkata, sebuah jentera dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan lapan anggota dikerah ke lokasi sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.48 tengah hari.
“Sebaik tiba di lokasi mendapati sebuah kereta jenis Proton Saga terbakar dan operasi memadam terus dilakukan.
“Api berjaya dikawal jam 1.02 tengah hari dan kereta berkenaan musnah sepenuhnya,” katanya ketika dihubung, hari ini.
Menurutnya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan bomba.
“Pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi menyelamat tamat jam 1.12 tengah hari,” katanya.
SabahNewsToday