KOTA KINABALU: Seramai 244 anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah akan ditugaskan sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina kali ini yang bermula 18 Januari lalu sehingga 2 Februari depan.
Pengarahnya, Sadim Abdul berkata sehubungan itu pihaknya telah mengeluarkan arahan agar semua cuti anggota JPJ Sabah dibekukan bagi pelaksanaan dan kelancaran operasi tersebut.
“Kita mengutamakan keselesaan serta kesejahteraan pengguna jalan raya agar semua pengguna memandu secara cermat dan selamat sampai ke destinasi masing-masing.
“Pelaksanaan operasi ini juga bagi mengurangkan statistik kemalangan jalan raya dengan operasi bersama secara serentak bersama agensi serta pihak berkuasa lain sepanjang tempoh perayaan berlangsung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Ops Tahun Baharu Cina di Terminal Bas Inanam di sini, semalam.
Beliau berkata pihaknya juga menjalankan operasi pemeriksaan teknikal bas ekspres di terminal utama seluruh Sabah selain memastikan pemandu serta pengusaha bas bebas dari saman tertunggak.
Dalam pada itu katanya JPJ juga bekerjasama dengan pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang membuat pemeriksaan urin terhadap pemandu bas bagi memastikan pemandu bas bebas dari pengaruh dadah.
“Kenderaan barangan juga tidak dibenarkan untuk berada di jalan raya dalam tempoh sebelum dan ketika musim perayaan iaitu pada 23 dan 24 serta 27 dan 28 Januari untuk mengelakkan kesesakan serta perkara tidak diingini berlaku,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pemandu serta pengguna jalan supaya tidak melakukan tujuh kesalahan utama sepanjang berada di jalan raya bagi mengelakkan perkara tidak diingin berlaku.
“Kita mengambil tindakan tegas terhadap pelanggaran tujuh kesalahan utama termasuklah tidak mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, guna telefon bimbit ketika memandu dan memotong dilorong kecemasan.
“Pemandu turut diingatkan untuk sentiasa memakai tali pinggang keselamatan, tidak memandu di lorong kanan secara berterusan serta tidak memotong barisan secara sewenang-wenangnya ketika berada di jalan raya,” katanya.
JPJ Sabah mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat serta aduan sepanjang operasi itu dilaksanakan dengan menyalurkan kepada JPJ di talian 088-511838 atau email di [email protected] – SabahNewsToday