KOTA KINABALU: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata keputusan kerajaan membatalkan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) dibuat selepas mendegar suara rakyat Sabah terutama dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.
Ketua Menteri berkata, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan berkhidmat kepada rakyat, keputusan tersebut perlu diambil dan akan dimaklumkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai badan pelaksana PSS yang sebelum ini dicadangkan pada 1 Jun depan.
Mohd. Shafie berkata, dengan pembatalan PSS, langkah-langkah membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) akan diteruskan oleh pihak berkuasa seperti biasa demi keselamatan rakyat negeri ini.
“Kita menyedari hakikat bahawa itulah keputusan yang telah dilakukan dan di samping itu setelah meneliti apa yang telah berlaku mesyuarat jemaah menteri pada hari ini, 22 Januari 2020 telah memutuskan supaya Pas Sementara Sabah atau pun PSS dibatalkan setelah melihat dan mendengar suara rakyat yang ada di peringkat bukan hanya PRK Kimanis bahkan juga pada keseluruhannya.
“Suara-suara yang diutarakan, suara rakyat telah terbukti di kawasan itu mereka tidak ingin melihat keadaan ini dan kita mendengar suara rakyat yang ada, maka dengan itu Kabinet negeri Sabah telah memutuskan supaya kita maklumkan kepada Kementerian Dalam Negeri selaku kementerian yang bertanggungjawab supaya membatalkan rancangan untuk meneruskan pelaksanaan PSS pada bulan Jun ini,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
PSS diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 6 September tahun lalu bagi menggantikan IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang dipegang oleh 136,055 warga asing yang datang ke Sabah sejak puluhan tahun lalu.
Kad tersebut dijangka mampu mengatasi masalah PATI di negeri ini kerana lengkap dengan ciri-ciri keselamatan dan bagi membanteras kewujudan sindiket pemalsuan dokumen yang berleluasa.
PSS bagaimanapun menjadi modal utama pembangkang dalam PRK Kimanis yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menewaskan Warisan dengan undi majoriti lebih besar berbanding pada pilihan raya umum 2018.
Ditanya tentang langkah seterusnya selepas PSS dibatalkan, Mohd. Shafie berkata, KDN perlu mencari jalan mengatasi masalah PATI di Sabah, namun usaha membanteras golongan itu yang dilakukan sekarang akan diteruskan.
“Kementerian Dalam Negeri akan meneruskan perkara-perkara lain, kerajaan negeri akan memainkan tanggungjawab seperti biasa tentang pengurusan PATI yang kita termampu, mana yang kita pastikan supaya keadaan ini tidak menjejaskan bukan hanya keselamatan keadaan persekitaran yang ada di peringkat negeri Sabah,” tegas beliau.
Mengulas tentang sokongan majikan di sektor perladangan terhadap PSS kerana memerlukan pekerja, beliau berkata, proses biasa perlu dipatuhi iaitu pekerja asing mesti mendapatkan permit pekerjaan untuk bekerja.
“Pekerja itu satu perkara tapi kita nak supaya kita perincikan bagaimana pekerjaan yang harus dipenuhi oleh sektor-sektor seperti perladangan dapat dipermudahkan, permit pekerjaan masih ada tapi kita akan teruskan supaya jangan terbantut sektor-sektor ini kerana kita tidak mahu tanggapan bahawa pembabitan tentang pengeluaran kad pengenalan,” katanya.