Tun M Tak Berdendam, Boleh Bekerja Dengan Sesiapa Kecuali Najib

Perdana Menteri Dr Manathir Mohamad berkata dalam politik tiada pakatan atau musuh yang tetap selain menjelaskan beliau telah bekerja dengan ramai individu selama beberapa dekad.

Bagaimanapun, Mahathir meletakkan pengecualian iaitu tidak akan berkerjasama dengan bekas perdana menteri Najib Razak.

“Kamu tahu, saya boleh bekerja dengan (bekas perdana menteri) Najib Abdul Razak sebelum ini? Tapi, sekarang saya boleh bersama dengan (veteran DAP) Lim Kit Siang.

“Lihat, saya tidak berdendam dengan dia (Kit Siang). Jika kita boleh lakukan sesuatu yang baik, saya akan bekerjasama dengannya. Tetapi Najib, saya tidak fikir dia boleh berbuat sesuatu yang baik kerana dia melanggar undang-undang […] Saya fikir dia perlu membayar harga yang tinggi kerana mencuri wang kerajaan,” katanya.Iklan

Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi bahawa penyokong beliau cuba membawa masuk PAS dalam kerajaan persekutuan.

Terdahulu, FMT melaporkan pakatan politik baru itu bakal menyingkirkan DAP dan peluang Presiden PKR Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri seterusnya.

Mahathir, ketika ditanya kebenaran di sebalik spekulasi tersebut bagaimanapun hanya ketawa.

“Ya, ada gambar saya bersalam (presiden PAS) Abdul Hadi Awang.

“Saya bertemu semua orang termasuk pemberita yang tidak baik […] bukan hanya pemberita yang baik. Itulah pekerjaan saya. Saya bertemu dengan semua orang walaupun orang-orang ini, musuh saya dan semua itu, ” katanya.

Sidang media itu disiarkan secara langsung oleh Bernama TV di laman Facebook.

Diasak soalan sama ada Pakatan Harapan (PH) meminta sokongan luar iaitu PAS, perdana menteri menjelaskan pertemuan sebelumnya dengan pemimpin PAS namun tidak memandang berat mengenainya.

Beliau juga tidak menyatakan bila pertemuan itu berlaku atau siapa yang ditemui.

“Mereka jumpa, mereka bimbang dengan beberapa perkara.

“Saya kata ia sangat mudah. Kalau kami buat sesuatu buruk, jangan sokong kami di parlimen. Kalau kami buat yang baik, walaupun kami pembangkang , tapi apa yang dilakukan adalah baik untuk negara, tolong sokong kami. Itu sahaja.

“Jadi, ada beberapa perkara di parlimen, perkara-perkara tertentu disokong, undang-undang tertentu dari kerajaan disokong oleh PAS jika ia baik, tetapi jika mereka fikir ia buruk, jangan sokong,” katanya.

Susulan kemenangan PH dalam PRU14, PAS membentuk gabungan pembangkang dengan Umno yang dipanggil “Muafakat Nasional”.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berulang kali mengisytiharkan sokongannya terhadap kepimpinan Mahathir dan memintanya berkhidmat sehingga habis penggal berbanding menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Sebelum ini, sekretariat PH mendakwa bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein cuba menubuhkan kerajaan baru tanpa DAP.

Anggota parlimen Umno itu, bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut selepas dikatakan beliau cuba menghalang Anwar menggantikan Mahathir.

MalaysiaKini

1281