KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) memuji keberanian pengundi Kimanis kerana mampu mengambil keputusan memilih calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin sebagai Ahli Parlimen Kimanis.
Presiden PBS Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, kesepakatan dan kerjasama semua parti pembangkang turut menyumbang kepada kemenangan BN.
Menurutnya, pennyokong BN dari blok kerajaan bekerja keras dari mula hari kempen sehinggalah tamat.
“Kemenangan ini bukan saja meyakinkan tetapi cukup manis walaupun banyak halangan dan cabaran yang terpaksa dihadapi sepanjang kempen.
“Keputusan yang memihak kepada pembangkang ini juga menunjukkan kuasa para pengundi di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kejayaan Mohamad yang mengalahkan calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Karim Bujang dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kimanis di sini kelmarin.
Maximus berkata, PBS memberi penghormatan kepada pengundi Kimanis atas kebijaksanaan, keberanian dan ketetapan pemikiran mereka.
“Ini adalah satu tamparan hebat dan juga pembuka mata kepada kerajaan WARISAN,” katanya.
Utusan Borneo