Cinta Tiga Segi, Bapa & Anak Rebut Janda Anak 3

Zaharuddin ditembak di kaki kanan kerana melawan.

BALIKPAPAN: Kisan bapa dan anak lelaki berebut cinta janda cantik anak tiga, berakhir tragedi apabila wanita itu mati dibunuh.

Surya.co.id melaporkan, janda berusia 33 tahun itu menjadi rebutan bapa, Ibramsyah, 55, dengan anak lelakinya, Zaharuddin, 33.

Zaharuddin dipercayai menjalin hubungan dengan janda itu selama beberapa bulan dan pada masa sama bapanya turut menaruh hati kepada wanita itu.

Lelaki itu dipercayai berang sebaik mengetahui kekasih hatinya turut menjalin hubungan sama dengan bapanya.

Dalam laporan itu menyebut, akibat marah dan cemburu, Zaharuddin menikam wanita itu beberapa kali hingga mati ketika bersemuka dengan janda berkenaan.

Zaharuddin ketika ditemubual wartawan selepas ditangkap polis mengaku dia sudah sembilan bulan menjalin hubungan dengan wanita berkenaan.

Bagaimanapun, dia tidak boleh menerima kecurangan kekasihnya yang turut menjalinkan hubungan sulit dengan bapa sendiri.

“Saya sebenarnya mahu berbincang baik-baik tetapi dia memarahi dan mengherdik saya.

“Saya hanya mahu dia membuat pilihan sama ada saya atau bapa, tetapi dia tidak mengaku membuatkan saya naik marah dan menikamnya,” katanya.

Selepas membunuh wanita itu, Zaharuddin melarikan diri tetapi berjaya ditangkap polis dan ditembak di kaki kerana melawan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *