Pengundi PRK Kimanis Dinasihat Keluar Mengundi Awal

KOTA KINABALU: Pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis esok diminta keluar mengundi awal berikutan ramalan cuaca menjangkakan hujan sebelah petang di kawasan berkenaan.

Pengarah Meteorologi Sabah, Amirzudi Hashim, berkata bagi mengelak pengundi berdepan kesukaran, mereka dinasihatkan keluar pada awal pagi esok untuk menunaikan tanggungjawab.

Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Sabah, Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan hari ini, meramalkan cuaca pada esok pagi adalah tiada hujan dengan suhu antara 25 hingga 28 darjah Celcius, manakala di sebelah petang ribut petir dengan suhu antara 28 hingga 32 darjah Celcius.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan dan Membakut dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi, termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir yang berada luar negara.

Pemilih terdiri daripada 14,800 lelaki dan 14,864 perempuan dengan DUN Bongawan mempunyai 16,273 pemilih dan DUN Membakut 13,391 pemilih.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertembungan satu lawan satu membabitkan calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *