Shafie Berbohong, PSS Bukan Diluluskan Oleh BN – Pairin

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan membaca buku Laporan Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing Di Sabah ketika berucap pada Himpunan Muafakat Rakyat Sabah sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di Pusat Komersil Kimanis, Kimanis, Sabah.

KIMANIS – Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kiringan hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa Pas Sementara Sabah (PSS) telah diluluskan oleh Barisan Nasional (BN) iaitu ketika beliau mentadbir Kerajaan Negeri Sabah.

Menurut Pairin, dakwaan itu tidak berasas kerana beliau tidak mempengerusikan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menangani masalah pendatang asing tanpa izin (PTI) di Sabah ketika itu.

“Walaupun saya sudah pencen, tapi nama saya disebut-sebut dalam surat khabar. Mereka yang selaku sebut-sebut nama saya ini nampaknya mengaitkan saya dengan PSS.

“PSS tidak wujud dalam kita punya buku, laporan RCI. Yang tersebut dalam buku ini adalah mengenai Pas Residen, bukan PSS. Mereka (Warisan) telah mengatakan RCI telah mencadangkan kewujudan PSS.

“Bila saya semak dalam laporan itu, saya tak nampak PSS malah nama saya pun tidak terlibat. Bagaimana PSS ini dikatakan mula daripada BN, sedangkan RCI ini saya bukan pengerusi, di mana ditubuhkan oleh Yang di-Pertuan Agong sendiri,” katanya pada Himpunan Muafakat Rakyat Sabah di Pusat Komersial Kimanis, di sini, malam ini.

Dalam pada itu, Pairin Kitingan berkata, buku laporan RCI yang ditunjukkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebelum ini kepada orang ramai adalah satu pembohongan.

“Satu Jawatankuasa Induk PTI ini telah dicadangkan oleh laporan RCI. Jawatankuasa Induk PTI dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, ketika itu adalah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sabah.

“Jawatankuasa yang dipengerusikan saya hanyalah jawatankuasa kecil berkaitan dengan pengumpulan maklumat berkaitan dengan PTI dan ia terletak di bawah jawatankuasa induk PTI.

“Yang disebut sebagai cadangan untuk menggunakan Pas Residen dicadangkan melalui penyampaian maklumat daripada Jabatan Imigresen, yang disebut adalah Pas Residen dan bukan PSS.

“Dalam buku ini tidak ditulis berkenaan PSS, kalau ada orang kata PSS ditulis dalam buku laporan RCI, itu satu pembohongan,” katanya lagi.

Sumber: MalaysiaGazette

3768