Masa Depan Anak Cucu Lebih Penting Daripada Habuan Politik

Bekas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman (tengah) pada Himpunan Solidariti Rakyat Bantah Pas Sementara Sabah (PSS) sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di Pekan Lama Membakut, Kimanis

KIMANIS – Bekas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman mengingatkan pengundi Parlimen Kimanis agar tidak menggadaikan masa depan anak cucu mereka hanya kerana habuan politik wang.

Menurut Anifah, walaupun kebanyakan rakyat Sabah bukan dalam kalangan orang berada, namun maruah pengundi Parlimen Kimanis lebih tinggi daripada ganjaran politik.

“Kita bukan macam mereka. Bagi RM300…RM700 menghina bangsa kita sendiri.

“Kenapa kita sanggup menggadai masa hadapan anak cucu cicit kita dengan RM300 atau RM400, cabutan bertuah, motosikal mahupun basikal.

“Barangkali kita semua tidak kaya, tapi maruah kita lebih penting daripada RM300. Masa depan anak cucu kita lebih penting daripada RM700,” katanya berucap pada Himpunan Solidariti Rakyat Bantah Pas Sementara Sabah (PSS), di Pekan Lama Membakut, hari ini.

Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang berbaki kurang tiga hari ini dikatakan wujud gerakan besar-besaran membeli sokongan daripada pengundi.

Dalam pada itu, Anifah melihat himpunan itu bakal menjadi sejarah apabila hampir 1,000 rakyat Sabah daripada pelbagai etnik membantah pelaksanaan PSS.

Jelasnya, pengenalan PSS hanya akan memberi ancaman kepada masa depan generasi muda di Sabah yang terpaksa bersaing untuk mendapatkan peluang pekerjaan.

“PSS ini diberikan kepada pelarian dan pendatang tanpa izin, anak-anak mereka yang lahir 900,000 itu akan secara automatik menjadi warganegara Malaysia.

“Mereka ini akan bersaing dengan anak-anak kita di sekolah, hospital dan bermacam lagi,” katanya.

Selain itu katanya, rakyat Sabah juga berdepan dengan risiko jangkitan penyakit berbahaya seperti polio disebarkan pendatang tanpa izin yang masuk ke Sabah.

“Penyakit polio, ia sudah tiada di bumi Sabah sejak berpuluh tahun lalu.

“Tapi polio itu dibawa oleh negara jiran Filipina, jadi banyak implikasi negatif apabila kita tidak membantah apa yang hendak dilakukan oleh Datuk Mohd Shafie Apdal dan Datuk Aziz Jaman,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1386