Enam PATI Filipina Ditahan Dalam Ops Bersepadu Di KK

Foto Ihsan PDM

KOTA KINABALU: Seramai enam orang pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Fililina ditahan dalam Ops Bersepadu Pati peringkat Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata, pihaknya melancarkan operasi tersebut selama enam jam bermula pada 2 petang sehingga 8 malam.

Foto Ihsan PDM

“Operasi dijalankan di lima lokasi berbeza sekitar bandar raya ini yang sering menjadi tumpuan warga asing.

“Dalam operasi tersebut, seramai 30 orang warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu, enam individu berumur antara 19 hingga 41 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya, hari ini.

Tambahnya, operasi tersebut turut mendapat kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Ikatan Rela Malaysia (RELA), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Foto Ihsan PDM

“Selain itu, operasi ini juga turut disertai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bertindak sebagai pemantau.

“Semua Pati yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negeri secara haram,” katanya.

Tambah Habibi, operasi tersebut akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengekang kehadiran Pati di daerah tersebut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi polis menerusi aplikasi Whatsapps 019-2182729 atau Facebook Rasmi IPD Kota Kinabalu.

663