Hanya WARISAN Boleh Bangunkan Kimanis – Hajiji

MEMBAKUT: Rakyat terutamanya pengundi di Kimanis perlu memberi peluang kepada calon Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, kata Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, sebagai parti kerajaan, hanya Warisan yang mampu membawa perubahan di Kimanis, justeru pengundi perlu memilih calon Warisan, Datuk Karim Bujang.

“Di Sabah kita memerlukan poliitk pembangunan. Kita mahu menyokong kerajaan untuk membantu rakyat terutama kawasan-kawasan yang memerlukan pembangunan.

“Sabah masih jauh ketinggalan terutama pembangunan di kawasan luar bandar, justeru dengan adanya wakil rakyat daripada parti kerajaan, maka pembangunan untuk rakyat dapat dirancang dan direalisasikan dengan lebih cepat dan berkesan.

“Sebaliknya Barisan Nasional (BN) dan UMNO kini adalah parti pembangkang. Calonnya tidak dapat membawa apa-apa pembangunan ke kawasan Kimanis sekiranya pengundi Kimanis memilih BN”, katanya.

Hajiji berkata demikian dalamProgram Bersama Rakyat dan Lawatan Rumah Ke Rumah anjuran Srikandi Bersatu Sabah di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Lumat dan PDM Mawao di sini semalam.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, sebagai parti pembangkang BN dan UMNO di Sabah tidak mampu membela dan membantu rakyat.

Sebaliknya kata beliau,  calon BN dan pemimpin UMNO hanya dapat membuat janji-janji manis yang tidak dapat mereka tunaikan kerana mereka bukan dalam kerajaan.

“Apa yang pembangkang boleh buat untuk rakyat Kimanis sekiranya diberi mandat? Yang nyata pada masa sekarang BN dan UMNO tidak mampu membawa apa-apa perubahan untuk rakyat dan kawasan Parlimen Kimanis.

“Justeru saya mengingatkan rakyat Kimanis agar pentingkan masa hadapan. Pilihlah calon Warisan kerana hanya Wakil Rakyat dari parti Kerajaan sahajalah yang mampu mengubah keadaan dan membela nasib rakyat”, tegasnya.

Hajiji berkata, dalam pilihan raya umum lalu, rakyat telah menentukan keadaan politik dengan mengubah kerajaan lalu, justeru pasti ada sebabnya kenapa kerajaan yang sudah lama memerintah negara ini ditumbangkan oleh kuasa rakyat.

“Dalam pilihan raya yang lepas kerajaan telah dihukum oleh rakyat dan memilih Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan dan Warisan bagi negeri Sabah,” tegasnya.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri Sabah yang diterajui oleh Warisan di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal haruslah diberi ruang dan masa untuk meneruskan agenda pembangunan bagi rakyat dan negeri Sabah.

“Negeri Sabah perlukan satu perpaduan yang jitu iaitu antara kerajaan negeri dengan Kerajaan PH di peringkat Persekutuan,  kerana bagi kita yang penting ialah rakyat dan pembangunan ekonomi untuk rakyat”, tambahnya.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *