Bekas Jurutera Didakwa Salahguna Kuasa Beri Projek Kepada Adik

Herwan Malik, kanan, bersama peguambela dia diluar mahkamah.

KOTA KINABALU: Bekas Penolong Jurutera Awam di Pejabat Daerah Kota Marudu hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah terhadap dua tuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan kontrak bernilai RM249,990 pada tahun 2013 dan 2014.

Tertuduh Herwan Malik, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Bagi pertuduhan pertama tertuduh didakwa telah menggunakan jawatan sebagai ahli jawatankuasa keputusan sebutharga Pejabat Daerah Kota Marudu dengan memperakukan pemilihan Pemborong Sri Tassha yang dimiliki adiknya, Rozanah Malik untuk menjalankan projek kerja penyelenggaraan jalanraya pertanian di Kampung Sungoi Laut, Kota Marudu bernilai RM100,00 pada 23 Feb 2013.

Manakala bagi pertuduhan kedua Herwan didakwa telah melakukan kesalahan yang sama iaitu menyalahgunakan kuasa melantik Pemborong Sri Tassha yang dimiliki adiknya, Rozanah Malik untuk projek kerja penyelenggaraan jalanraya Kampung Pandawar, Kota Marudu bernilai RM149,990 pada 30 April 2014.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Herwan didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Faliq Basirudin, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Shahlan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan deposit RM6,000 dengan seorang penjamin serta dua syarat lain iaitu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap dua bulan sekali di Ibu Pejabat SPRM Kota Kinabalu.

Mahkamah menetapkan 25 Feb ini untuk sebutan semula kes.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *