Penyakit Seperti Influenza Meningkat

KUALA LUMPUR: Kejadian wabak penyakit seperti influenza (ILI) ketika ini dalam keadaan terkawal walaupun wujud peningkatan di 10 negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya, sejak hujung tahun lalu.

Negeri dikesan berlaku peningkatan ILI ialah Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Perak, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Terengganu dan Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peningkatan ILI dikesan menerusi analisis semasa bagi pola aktiviti influenza membabitkan kadar perundingan kes ILI dan kemasukan pesakit ke wad dengan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) daripada pelbagai lokasi sentinel di seluruh negara.

“Pengawasan influenza makmal dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh juga menunjukkan peningkatan pola aktiviti virus influenza dalam persekitaran.

“Tiada sebarang kelainan, perubahan atau mutasi pada penularan influenza ketika ini, sebaliknya ia sama seperti virus dilaporkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di pelbagai negara tropika lain di Asia Tenggara, Asia Selatan, Amerika Tengah dan Amerika Selatan,” katanya.

Dr Noor Hisham turut mencadangkan mereka yang mempunyai gejala jangkitan influenza supaya berehat di rumah dan tidak mengunjungi tempat tumpuan awam atau bertemu orang lain.

Beliau berkata, jika perlu mengadakan pertemuan dengan orang lain, mereka dinasihat memakai penutup mulut dan hidung seperti ‘penutup mulut untuk pembedahan’ atau ‘penutup tiga lapis’.

Katanya, pemakaian penutup mulut dan hidung dengan cara betul memadai untuk mengelak penularan virus, malah orang ramai dinasihat mendapat rawatan segera di kemudahan kesihatan jika gejala berterusan atau bertambah teruk.

“Kita sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan jangkitan influenza di sekolah serta pusat jagaan kanak-kanak berupaya dicegah serta dikawal.

“Sesi perjumpaan ‘townhall’ (perbincangan umum) sedang dirancang bagi memastikan kesedaran jangkitan influenza dan langkah kawalan serta pencegahan dapat diambil secara berkesan.

“Perkongsian maklumat antara agensi juga diperkukuhkan. Orang ramai dan media dinasihat sentiasa mendapatkan maklumat terkini serta sahih mengenai situasi jangkitan influenza melalui saluran rasmi Kementerian Kesihatan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *