1,114 Karton Arak Seludup Bernilai RM144,150 Dirampas

Omar memeriksa lori yang berisi muatan minuman keras tanpa cukai yang ditahan di Jalan Lembaga Air Kasigui di Penampang pada Sabtu lalu.

PENAMPANG: Sebanyak 1,114 karton minuman keras bernilai hampir RM144,150 dipercayai diseludup, dirampas dalam serbuan di Jalan Lembaga Air Kasigui, di sini, Sabtu lalu.

Difahamkan, dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, polis turut menahan dua lelaki tempatan dipercayai terbabit dalam aktiviti berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata, terdahulu, sepasukan pegawai dan anggota polis bergegas ke tanah lapang di situ untuk melakukan pemeriksaan selepas mendapat maklumat berhubung aktiviti penyeludupan tersebut.

“Hasil serbuan yang dilakukan, polis menemui dua buah lori yang diparkirkan di kawasan tanah lapang dan berpagar seterusnya membawa kepada penemuan 1,114 karton minuman keras pelbagai jenama berkenaan.

“Polis percaya semua minuman keras tersebut diseludup ke daerah ini tanpa membabitkan pembayaran cukai,” katanya kepada media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, hari ini.

Terdahulu, beliau meluangkan masa lebih satu jam mengadakan lawatan kerja di IPD berkenaan.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sabah Datuk Jauteh Dikun dan Ketua Polis Daerah Penampang Deputis Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

Omar berkata, dalam operasi yang sama, pihaknya turut menahan dua lelaki berumur 20 dan 36 tahun dipercayai bekerja sebagai pemandu dan kelindan lori tersebut.

“Setakat ini, kami masih menyiasat dalang aktiviti penyeludupan minuman keras tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *