Rumah Atas Air Tiba-Tiba Roboh

Penduduk kampung menggunakan perahu mengangkut barang-barang mangsa yang masih boleh digunakan.

TAWAU: Dua beradik menempuh detik cemas selepas rumah mereka yang dibina di atas air di Kampung Inderasabah, roboh secara tiba-tiba, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, kedua-dua mangsa terpaksa berenang menerusi pintu rumah untuk menyelamatkan diri apabila rumah mereka ditenggelami air.

Saksi kejadian, Muksin Tafsirin hanya mengetahui rumah jirannya itu roboh setelah mendengar bunyi kuat yang disangkakan sekumpulan monyet berlari di atap rumah.

Keadaan rumah mangsa yang sudah dibongkar oleh penduduk kampung untuk menyelamatkan kayu yang masih boleh digunakan semula.

“Selepas mendengar bunyi kuat itu, saya keluar mahu mengetahui kejadian sebenar dan melihat rumah mangsa sudah roboh,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau berkata, kejadian itu mungkin disebabkan struktur tiang rumah yang sudah tidak kukuh menyebabkan tidak dapat menampung berat rumah.

“Semasa kejadian, keadaan ombak tidak begitu kuat sebab rumah kami tidak bergoyang seperti kebiasaan sekiranya ombak kuat.

“Saya melihat kedua-dua mangsa hanya berjaya menyelamatkan diri mereka dengan berenang tanpa membawa apa-apa barang mereka.

“Semua harta benda teurtamanya barang-barang elektrik tidak dapat diselamatkan kerana separuh rumah terbabit ditenggelami air, namun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurutnya, penduduk kampung turut membantu mangsa menyelamatkan barang-barang yang masih boleh digunakan lagi di samping bertindak membongkar rumah terbabit.

“Penduduk kampung gotong-royong membantu membongkar rumah berkenaan bagi mendapatkan kayu-kayu rumah itu supaya boleh digunakan untuk pembinaan rumah itu semula.

“Ketua Kampung Inderasabah juga sudah melawat mangsa dan kemungkinan akan ada bantuan kilat yang diberikan kepada mangsa,” katanya.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *