PRK Kimanis: Polis Terima 10 Laporan Dalam Tempoh 10 Hari Kempen

KIMANIS, 13 Jan: Polis menerima 10 laporan berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis sepanjang tempoh 10 hari berkempen sehingga hari ini.

Ketua Polis Daerah Beaufort, DSP Azmir Abdul Razak berkata daripada jumlah itu, lima kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 dan Kanun Keseksaan.

“Antara siasatan dilakukan adalah berhubung kes sogokan, fitnah dan mengaibkan,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, beliau berkata 163 permit bagi tujuan berkempen dan ceramah umum dipohon oleh dua parti bertanding, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan Nasional (BN) sepanjang tempoh itu.

“Sejak 4 Jan hingga 8.00 pagi ini, Warisan memohon 102 permit manakala BN, 61 permit,” katanya.

Sementara itu, Azmir mengesahkan pihaknya sudah meluluskan dengan bersyarat permit untuk Himpunan Solidariti Rakyat Bantahan Aman Pas Sementara Sabah (PSS) pada 15 Jan ini

“Permohonan dibuat oleh pihak penganjur, Benjamin Ondoi pada 3 Jan dan diluluskan dengan bersyarat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.

Azmir turut mengesahkan tiada sebarang insiden berlaku sepanjang tempoh 10 hari kempen, dan kedua-dua parti bertanding memberi kerjasama baik kepada pihak polis.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Warisan Datuk Karim Bujang dan calon BN Datuk Mohamad Alamin.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 18 Jan dan hari pengundian awal pada 14 Jan ini.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *