Kimanis Berpotensi Laksana Pembenihan Ikan Di Laut

KIMANIS: Projek pembenihan ikan di laut dilihat berpotensi untuk dibangunkan di Kimanis yang mempunyai banyak nelayan tradisional.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, pembenihan ikan di laut ini antara langkah yang dapat membantu nelayan tradisional memperolehi hasil pendapatan secara berterusan biarpun semasa musim tengkujuh.

Beliau berkata, beliau telah mengarahkan Menteri Pertanian & Industri Makanan bekerjasama dengan Jabatan Tanah & Ukur untuk mengenal pasti tol-tol yang boleh diagihkan agar penternakan ikan boleh dilakukan di laut.

Bagaimanapun, pengagihan tol-tol itu perlu disusun dengan baik agar semua nelayan dapat manfaat daripada projek pembenihan ikan sebegitu.

Menurutnya, untuk memastikan pembenihan itu berjaya dilaksanakan, ikan yang dipelihara perlu mempunyai nilai yang tinggi seperti ikan jebong atau dikenali sebagai ‘ayam laut’.

Beliau berkata, ikan berkualiti tinggi mempunyai harga dan permintaan baik jadi, pasarannya juga agak baik.

Mohd Shafie berkata, pendekatan sebegini merupakan langkah terbaik dalam mengubah kehidupan nelayan tradisi yang perlu turun ke laut setiap hari.

Beliau berkata, pembenihan ikan sebegitu akan turut dibangunkan di kawasan Pantai Timur Sabah yang berdepan risiko serangan lanun di lautan.

Katanya, sekiranya projek pembenihan ini dilaksanakan, masalah bot, enjin mahupun subsidi diesel yang mencecah jutaan ringgit dapat dijimatkan.

Tambahnya, peruntukan subsidi itu mungkin boleh digunakan untuk melaksana lebih banyak projek pembenihan ikan di laut.

BorneoToday

365