Anifah Banyak Berjasa Kepada Saya – Mohamad Alamin

KIMANIS: Datuk Mohamad Alamin mengakui bahawa Datuk Seri Anifah Aman banyak berjasa kepada dirinya hingga membolehkannya dinamakan semula sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Menurut Mohamad yang lebih dikenali sebagai Datuk Mo, beliau tidak menafikan bekas Ahli Parlimen Kimanis itu banyak mengajar dirinya mengenai asam garam untuk menjadi ahli politik yang baik.

“Banyak jasa ahli-ahli Parlimen lepas, saya mengakui Datuk Seri Anifah Aman banyak berjasa dan saya anak didik beliau juga dan saya setuju.

“Saya ketua pemuda, beliau ketua bahagian, kita saling bekerjasama, ketika jadi ahli Parlimen dan saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selama lima tahun, kita saling melengkapi antara satu sama lain dan bekerjasama.

“Kita amat berterima kasih kepada beliau banyak mengajar saya dari segi politik, asam garam bagaimana menjadi seorang ahli politik yang baik,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika melakukan walkabout di Tamu Bongawan hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Alamin juga sedia dinasihati dan mendapatkan tunjuk ajar daripada Anifah kerana pengalamannya sebagai bekas ahli Parlimen dan menteri kabinet boleh membantu beliau memperkukuhkan BN di Kimanis.

“Insya-Allah saya akan terus berdampingan dengan beliau dan mendapatkan nasihat dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau juga tidak menafikan segala usaha pembangunan Kimanis yang dirancang pemimpin terdahulu tergendala selepas BN tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Parlimen Kimanis sudah memiliki sebuah daerah penuh, tapi tertangguh di tengah jalan kerana kita kehilangan kuasa untuk daerah ini, DUN Bongawan dan Dun Membakut.

“Perkara ini sesuatu yang merugikan, jadi banyak program termasuk projek Petronas, bomba, sekolah, surau, masjid dan sebagainya tak dapat diteruskan,” katanya.

Mohamad juga menyatakan komitmennya untuk menyuarakan bukan sahaja suara rakyat Kimanis bahkan Sabah dalam mendepani tuntutan pembangunan yang gagal ditunaikan Kerajaan Negeri Sabah.

“Bukan setakat suara Kimanis, tapi suara orang Sabah kerana isu-isu Sabah cukup besar, bukan hanya meliputi Parlimen Kimanis tapi isu-isu yang lebih besar di peringkat negeri harus kita bawa bersama.

“Kalau ditakdirkan (jadi wakil rakyat) saya akan menambah satu suara lagi, saya cuba yang terbaik untuk lantang di Parlimen,” ujarnya.

Ditanya tentang cabaran untuk memperbetulkan persepsi negatif terhadap BN, beliau berkata menerusi hanya penerangan berterusan dapat memulihkan keyakinan rakyat.

“Ya betul, itu satu persepsi, kita mendapatkan gerak kerja kita, kita berikan penerangan dan rakyat semakin faham, semua itu persepsi negatif, pembohongan dan fitnah semata-mata,” katanya.

Sebagai seorang yang berimej sederhana dan mudah didekati rakyat, Mohamad tidak menafikan ia boleh membantu untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada BN.

“Saya tak pasti itu kelebihan atau tidak (latar belakang Pendidikan dan agama) tak tahulah, mungkin itu sifat semulajadi saya,” katanya.

Katanya lagi, selepas berkempen sejak seminggu lalu, maklum balas yang diterima daripada rakyat sangat memberangsangkan kepada pendekatan rumah ke rumah sangat berkesan.

“Alhamdulillah seminggu sudah kita masuk, keluar kampung temui seramai mana pengundi dna cuba naik sebanyak mungkin rumah untuk bertemu dengan pengundi-pengundi kita.

“Setakat hari ini respon sangat positif dan mereka mengharapkan agar BN akan terus mewakili kawasan Parlimen di Kimanis ini.

“Ini kerana banyak perkara yang telah dibuat oleh kerajaan hari ini kurang memihak kepada rakyat, baik kerajaan negeri mahupun pusat,” katanya lagi.

MalaysiaGazette

301