Najib Puji Anifah, Walaupun Keluar UMNO Tapi Hati Tetap Sokong BN

KIMANIS: Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang sudah tidak relevan untuk diletakkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis kerana faktor usia selain tidak melaksanakan program pembangunan rakyat.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan, rakyat sepatutnya memberi peluang kepada calon yang lebih muda dan bukannya calon tua seperti Warisan.

“Kita gunakan calon yang baik, kalau nak orang kerja, kita kena muda-muda sikit

“Calon Warisan ini calon kuda dah lama, kuda dah tua, elok kita sembelih saja, nak simpan pun tak guna, orang dah letih lima penggal muka dia saja.

“Macam Datuk Bung Mokhtar kata apa dia buat dulu? Tiada apa, tapi calon kita ini boleh jadi suara rakyat Sabah di Parlimen dan dia boleh membuka jalan.

“Yang penting jalan menuju ke arah ke Putrajaya nak dimiliki oleh Barisan Nasional (BN), Muafakat Nasional dan rakyat kita,” katanya pada Ceramah Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pimping, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Najib juga memuji sikap terbuka Datuk Seri Anifah Aman yang menyokong Datuk Mohamad Alamin sebagai calon BN.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Anifah, walaupun tak hadir dalam Majlis, tapi saya nampak dalam Facebook, dia kata ini bukan soal jadi calon.

“Kata Anifah ini soal perjuangan, saya tak mahu anak cucu saya rugi kerana saya buat sesuatu yang tak kena. Inilah seorang yang boleh kita hormati sebagai seorang pemimpin,” katanya.

Katanya lagi, walaupun bekas Ahli Parlimen Kimanis itu mengumumkan keluar BN selepas PRU14 lalu, namun Anifah tidak menyerang bekas partinya.

“Walaupun dia keluar (UMNO) tapi tak menentang kita, dia keluar saja tapi dalam hatinya tetap menyokong dasar-dasar BN,” katanya.

Sementara itu, mengulas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Najib berkata BN tidak berniat untuk merampas tanah Borneo daripada rakyat Sabah.

“Kita memulakan rundingan MA63, proses itu tak sempat lagi, terlalu banyak soal teknikal, tapi ianya telah mula hasrat kita.

“Tidak ada niat di hati kami merampas atau menjajah orang Sabah.

“Kami nak orang Sabah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan orang Semenanjung,” katanya lagi.

MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *