Isu Pas Sementara Sabah: Dia Bohong, Kata Anifah

Bekas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman berucap pada Ceramah Perdana DUN Bongawan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di Bongawan, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL

KIMANIS – Calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang didakwa berbohong apabila menuduh Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagai dalang di sebalik pengenalan Pas Sementara Sabah (PSS) di Sabah.

Bekas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman sebaliknya membidas tuduhan yang dilemparkan terhadap BN Sabah sedangkan ia diperkenalkan selepas Warisan mengambil alih pentadbiran Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Dia pembohong…kamu pernah PSS sebelum ini masa zaman BN,” katanya secara ringkas selepas Ceramah Perdana DUN Bongawan di Kampung Malawaring, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Karim yang mendedahkan pengenalan dokumen PSS untuk pendatang asing tanpa izin (PATI) sebenarnya dibuat ketika pentadbiran BN sebelum PRU14.

Menurut Karim, Kerajaan Negeri Sabah hanya meneruskan mana-mana polisi yang baik meskipun diperkenalkan oleh kerajaan BN sebelum ini.

Bagaimanapun kata Karim, PSS diperkenalkan untuk mengatasi kelemahan tiga dokumen untuk PATI sebelum ini iaitu Kad Burung-Burung, Sijil Banci dan IM13.

Sumber: MalaysiaGazette

1759