Saya Bukan Pengkhianat, UPKO Dengar Nadi Rakyat – Madius

MADIUS Tangau (dua, kiri) beramah mesra dengan penduduk ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis di Kampung Daingin. – Foto BERNAMA

KIMANIS: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Madius Tangau membidas kenyataan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang menuduhnya sebagai pengkhianat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sambil menafikan tuduhan itu, Madius menjelaskan bahawa keputusan meninggalkan BN untuk bekerjasama dengan Parti Warisan Sabah (WARISAN) membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah berdasarkan sentimen rakyat ketika itu.

Beliau berkata, apa yang UPKO lakukan ialah menawarkan diri untuk menubuhkan kerajaan tanpa sebarang syarat atau perundingan.

“Saya bukan pengkhianat, kerajaan BN yang lalu tidak dapat menubuhkan kerajaan, tidak cukup kerusi, hanya 29. Begitu juga dengan Pakatan Harapan (PH) dan WARISAN, tidak cukup, hanya 29 juga.

“Sebab itu saya berpendirian bahawa Majlis Tertinggi UPKO, bukan pendirian Madius, kita mendengar kerana kita dididik untuk sentiasa mendengar nadi dan perasaan rakyat ketika itu, mereka mahukan perubahan.

“Jadi, kita buat keputusan memberi tawaran kepada WARISAN untuk menubuhkan kerajaan, itu yang UPKO buat, tidak ada perundingan, tidak ada apa-apa, cuma persetujuan menubuhkan kerajaan dan itulah yang kita buat,” katanya kepada pemberita ketika berkempen untuk calon WARISAN di Kampung Daingin, di sini, hari ini.

Madius yang juga Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) turut membidas kenyataan Anifah yang mengatakan disebabkan beliaulah, timbulnya isu Pas Sementara Sabah (PSS) yang didakwa mengancam masa depan rakyat Sabah.

“Siapa juga Madius ini, orang kampung saja. Cadangan itu dibuat oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), cuma jenama lain, dulu Pas Residen Sabah tetapi sekarang PSS, itu saja tetapi disebabkan orang sana (pembangkang) berminat mau jadi wakil rakyat, dia cari isulah putar belit kelirukan rakyat.

“Adakah pemimpin yang mengambil pendekatan mengelirukan rakyat layak dipanggil sebagai pemimpin, bagi saya tidak. Kalau betul dia pemimpin ikhlas mencari penyelesaian, fahami perkara ini dan jangan kelirukan rakyat,” katanya.

Jelasnya, kerajaan negeri memang komited untuk mencari penyelesaian menyeluruh mengenai isu pendatang asing di Sabah dan ia dipersetujui ketika dibentangkan pada mesyuarat Kabinet negeri, semalam.

Semalam, Anifah yang juga bekas Ahli Parlimen Kimanis menuduh Madius sebagai pengkhianat kerana bertindak meninggalkan BN dan menyertai pakatan WARISAN-PH bagi membentuk kerajaan negeri selepas PRU-14.

Dakwanya, jika bukan disebabkan tindakan itu, tiada pengeluaran PSS yang dijadual dilaksanakan pada Jun ini.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *