Anifah Turun Padang Pertama Kali Azam Tumbangkan Warisan

BONGAWAN: Mantan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman turun padang membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Seladan di sini malam tadi.

Dalam ucapan di Gudang Beras, Kampung Malawaring di sini, Anifah menjelaskan walaupun beliau sudah meninggalkan Umno dan BN untuk menjadi Ahli Parlimen bebas namun hati beliau masih bersama Umno dan BN.

Anifah menyampaikan ucapan di PDM Seladan.

Sekiranya beliau bersetuju bertanding semula kerusi Parlimen Kimanis ianya seolah-olah memperakui keputusan Mahkamah yang membatalkan kemenangan di Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Anifah yang juga mantan Menteri Luar Negera turut menjelaskan sebab-sebab beliau meninggalkan Umno dan BN iaitu kerana beliau tidak ingin menyakiti para pemimpin dalam parti lamanya.

“Bukan saya masuk parti lain … Cuma saya ingin jaga hati kawan-kawan. Kalau saya cakap pasal hak-hak Sabah saya bimbang saya akan melebihi batas. Tetapi jikalau saya keluar maka saya akan bebas menyuarakan tanpa batas,” katanya.

Pimpinan BN/Umno bersama Anifah membuat war cry PRK Kimanis

Anifah turut menjelaskan beliau telah bertemu dengan Presiden Umno merangkap Pengerusi BN Malaysia, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk bertanya pendirian beliau tentang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya akan sokong BN tetapi dengan syarat,” katanya, sambil menambah Ahmad Zahid telah memberi jaminan bahawa MA63 akan dilaksanakan sepenuhnya sekiranya BN diberi mandat semula untuk mentadbir negara.

“Kalau sudah begitu apa lagi? Tujuan saya berdiri di sini sebab saya mahu pastikan Warisan tumbang,” katanya.

Anifah mengingatkan kepada penduduk Kimanis bahawa “kita tidak kalah (dalam PRU14) maka itu jangan ingat kita akan kalah dalam PRK Kimanis kali ini.”

Ceramah Dun Bongawan itu turut dihadiri oleh Presiden Umno merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan PRK Kimanis merupakan satu referendum atau pungutan suara rakyat mengenai Pas Sementara Sabah (PSS).

Ianya akan memberi isyarat yang kuat kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) bahawa rakyat menolak PSS sekiranya BN menang dalam pilihan raya kecil itu nanti.

Zahid turut menyatakan bahawa sebelum ini Anifah merupakan calon utama yang difikirkan untuk mewakili BN, walaupun ketika itu Anifah bukan lagi ahli, dalam PRK Kimanis.

Zahid berkata beliau telah menelepon Anifah sebanyak tiga kali meminta beliau bertanding semula di Kimanis namun berdasarkan prinsip tawaran tersebut ditolak.

Dalam pada itu, beliau berjanji sekiranya BN diberikan mandat semula oleh rakyat, MA63 akan dilaksanakan sepenuhnya.

“Saya tahu ada kekangan tetapi apa sahaja kekangan boleh diketepikan,” katanya.

Sementara itu Zahid berkata BN telah menjalankan empat kaji selidik di Kimanis dan dalam keempat-empat kaji selidik itu, Mohamad Alamin merupakan yang teratas.

“Hanya Mohamad Alamin sahaja yang layak mengganti Anifah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Bung Moktar Radin menyatakan keyakinan sekiranya BN menang dalam PRK Kimanis bermakna Pakatan Harapan dan Warisan akan kalah dalam PRU15 nanti.

Menurutnya, Umno Sabah telah membuat banyak perubahan.

“Saya bagi amaran kepada calon kita kalau menang mesti balik kepada rakyat.

Kalau tidak saya akan panggil PRK lagi. Begitu juga kepada semua wakil-wakil rakyat kita. Kalau saya tidak perform saya sendiri akan berhenti,” katanya.

Mohamad Alamin dalam ucapan singkat beliau memberi jaminan akan meneruskan semua yang diperjuangkan oleh Anifah antaranya mempertahankan hak-hak orang Sabah sekiranya diberi mandat oleh pengundi Kimanis.

Beliau turut mengkritik Warisan kerana hal penting mengenai pelaksanaan PSS tidak pun dimasukkan dalam manifesto parti itu pada PRU14.

“Kalau ada sudah pasti satu undi pun tidak dapat,” katanya.

Bagi Datuk Abdul Rahman Dahlan pula yang ditugaskan menjaga PDM Seladan percaya PRK Kimanis bakal mewakili rakyat Sabah “yang sudah tidak tahan lagi dengan kegagalan Warisan dalam mentadbir negeri.”

SabahNewsToday

582