KIMANIS: Satu tunjuk perasaan aman terhadap pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) akan diadakan pada 15 Januari di Membakut, ketika Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis sedang berlangsung.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Jeffrey Kitingan; Presiden Pati Maju Sabah, Yong Teck Lee; dan bekas ahli Parlimen Kimanis, Anifah Aman dijangka menyertai Himpunan Solidariti Rakyat Bantah PSS itu.
Acara anjuran Pertubuhan Peningkatan Pendidikan Rakyat Sabah (Pipa) dan Solidariti Rakyat Sabah (Sorak) itu akan bermula pada 9.30 pagi.
Pengerusi Sorak, Jamain Sarudin berkata tunjuk perasaan itu diadakan atas permintaan masyarakat tempatan, yang memilih Membakut sebagai pusat penentangan terhadap PSS, yang akan dikeluarkan kepada pendatang asing bermula Jun.
“Pelaksanaan PSS ditentang oleh pelbagai pertubuhan dan individu kerana ia hanya memburukkan lagi masalah pendatang di Sabah, bukan menyelesaikannya.
“Kerajaan persekutuan perlu tumpu pada pengukuhan undang-undang imigresen dan tidak mengadakan satu permit untuk pendatang terus menetap di Sabah,” katanya.
Beliau berkata PSS akan menggalakkan pendatang masuk ke negeri itu secara haram, terutama dari selatan Filipina.
Dokumen itu akan menggantikan IMM13, Surat Burung-burung dan slip banci yang dipegang 136,055 pendatang di Sabah.
Kementerian Dalam Negeri berkata PSS, yang boleh diperbaharui setiap 3 tahun dengan bayaran RM120, membantu kerajaan membezakan pendatang sah dan tanpa izin.
Tunjuk perasaan itu akan diadakan 3 hari sebelum pengundi di Kimanis memilih ahli Parlimen baru, antara calon Warisan dan Umno.
Jamain berkata peserta dinasihatkan memakai baju hitam pada tunjuk perasaan itu. – FMT