Polis Tahan 2 ‘Tokan’ Dadah di Kota Belud, Syabu Bernilai Lebih RM8 Ribu Dirampas

Mohd Zaidi menunjukkan peket plastik berisi dadah jenis syabu dalam sidang media di IPD Kota Belud.

KOTA BELUD: Polis berjaya menahan dua lelaki disyaki pengedar dadah dalam Op Sarang di dua serbuan berasingan di daerah ini, semalam.

Serbuan antara jam 3 hingga 6 petang itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud yang mengenalpasti lokasi berkenaan sebagai salah satu kawasan tumpuan jenayah narkotik.

Dadah jenis syabu yang dirampas dalam Op Sarang di Kota Belud. Gambar SNT/Ihsan IPD Kota Belud

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata, serbuan pertama dijalankan di kawasan sawah Padi Kampung Kesapang dan menahan seorang lelaki sedang duduk di hadapan sebuah pondok sawah.

“Suspek cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis namun gagal. Hasil pemeriksaan di dalam beg kain miliknya, menemui 12 peket plastik berisi dadah jenis syabu seberat 51.67 gram bernilai RM7,750.

“Serbuan kedua menahan seorang di tepi jalan Kampung Rampayan Laut. Hasil pemeriksaan di dalam beg sandang yang dibawanya menemui satu peket plastik berisi dadah jenis syabu dengan berat 5.23 gram bernilai RM784,” katanya dalam sidang media di IPD Kota Belud, hari ini.

Mohd Zaidi berkata siasatan mendapati kedua-dua suspek disyaki menjalankan aktiviti pengedaran dadah kawasan Kampung Kesapang dan Kampung Rampayan Laut.

“Kedua-dua suspek mendapatkan bekalan dadah dari Kota Kinabalu.

“Suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39A (1) akta sama.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata dalam operasi itu juga, pihaknya turut menahan empat lagi lelaki kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“Kejayaan operasi ini adalah salah satu usaha IPD Kota Belud dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah khususnya di daerah ini,” katanya.

SabahNewsToday

1323