PRK Kimanis: PBS Istihar Sokongan Calon BN, Lancar Kempen Bantah PSS

Dr Maximus bersama pimpinan PBS menyatakan sokongan terhadap Mohamad Alamin. Gambar SNT/Chris Maskilone

PAPAR: Parti Bersatu Sabah (PBS) secara rasmi mengistiharkan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

“Kita akan sokong penuh calon pembangkang yang kebetulan daripada Umno/BN Datuk Mohamad Alamin dalam PRK Kimanis ini,” kata Presiden Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata demikian semasa perasmian penutupan mesyuarat cawangan PBS dan majlis perjumpaan dan santai-santai di Kampung Langsat, di sini.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Mohamad Alamin yang sempat beramah-mesra dengan para pemimpin dan ahli PBS sebelum beredar menghadiri program lain di kawasan.

Dalam ucapan singkat, Mohamad mengucapkan terima kasih kepada PBS, Star dan PBRS yang membantu kempen beliau dalam PRK Kimanis.

“Kita sama-sama tolak PSS,” katanya.

PBS sebelum ini dilaporkan hanya akan menyokong mana-mana calon yang memenuhi syarat dalam PRK Kimanis.

Antara syarat ialah calon tersebut harus lantang memperjuangkan hak-hak Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan juga perlu menolak pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS).

Sementara itu, Dr Maximus mempersoalkan angka 136,055 pemegang IMM13, Kad Burung-Burung dan Surat Bancian yang akan diberikan PSS.

“Betulkah itu 136,055? Dari mana datang, periksa dulu. Ini boleh dibuat melalui penubuhan inter party committee dalam Dun dan Parlimen untuk menentukan siapa yang betul-betul layak diberi PSS,” kata Dr Maximus.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman bahawa jumlah PSS yang akan dikeluarkan tidak akan melebihi 136,055 pemegang ketiga dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Surat Bancian.

Menurut Dr Maximus, Surat Bancian yang dikeluarkan semasa era Kerajaan PBS pada tahun 1987 sebenarnya hanyalah resit menunjukkan pendatang tanpa izin (PTI) itu telah dibanci.

Banci diadakan atas kebimbangan kerajaan negeri ketika itu dibawah Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan memandangkan jumlah sebenar PTI yang ada di Sabah tidak diketahui.

“Pihak polis pada ketika itu pun tidak mempunyai angka sebenar jumlah PTI yang ada di Sabah. Hanya anggaran lebih kurang 500,000,” katanya.

Proses banci dijalankan oleh Unit Penempatan di bawah Jabatan Ketua Menteri dengan kerjasama Institute for Development Studies (Sabah) pada ketika itu Dr Maximus merupakan timbalan ketua pegawai eksekutif.

Namun ianya terpaksa dihentikan selepas 14 bulan apabila dibantah oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana Sabah dan Sarawak tidak mempunyai hak membuat banci, katanya.

“Dalam masa 14 bulan sahaja seramai 325,000 PTI sudah dibanci (tapi belum selesai lagi),” kata Dr Maximus.

Sebagai resit, surat bancian seperti Kad Burung-Burung bukanlah untuk beri kebenaran PTI tinggal di Sabah, katanya, sambil menambah hanya IMM13 sahaja yang memberi kebenaran kepada orang asing tinggal di Sabah.

Oleh itu, pemilihan kali ini penting untuk bagi isyarat bahawa rakyat Sabah serius menolak cadangan PSS, ujarnya.

Mengenai kempen Bantah PSS, ianya akan berterusan sehingga Pilihan Raya Umum depan, katanya.

Antara yang turut hadir ialah pemimpin Star Datuk Ellron Angin yang juga Adun Sook dan dari PBRS serta keseluruhan ahli majlis tertinggi PBS.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *