KOTA KINABALU: Tambunan merekodkan tangkapan Daesh tertinggi tahun lalu iaitu seramai tujuh tangkapan diikuti enam orang di Semporna tiga di Keningau dan Kota Kinabalu serta Tenom masing-masing mencatatkan satu tangkapan dengan tangkapan keseluruhan seramai 18 orang.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, sepanjang tahun lalu Mac mencatatkan tangkapan militan Daesh tertinggi seramai 13 orang termasuk warga tempatan dan dua lagi pada September yang juga warga tempatan.
“Bagi menangani ancaman militan terutama kes culik di Sabah pasukan khas kita akan terus mengesan pergerakan atau rancangan elemen culik untuk wang tebusan (KFR) serta Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) yang menyusup masuk ke pantai timur Sabah berikutan terdesak melakukan ‘penculikan bernilai’.
“Berdasarkan maklumat terkini, KFR dan ASG yang aktif melakukan pergerakan atau rancangan penculikan dikesan bergerak aktif di sekitar Pulau Andulingan dan Pulau Sitangkai iaitu lokasi yang paling hampir dengan Lahad Datu dan dilengkapi dengan senjata api,” katanya.
Tambahnya terdapat juga maklumat mengatakan Moro National Liberation Front (MNLF) yang sedang merekrut ahli baharu di selatan Filipina dipercayai sebagai persediaan untuk mengukuhkan kumpulan terbabit susulan perubahan geo-politik di wilayah Mindanao.
“Perkembangan ini turut dipantau kerana ianya signifikan dengan keselamatan Sabah, kita juga akan meningkatkan risikan bagi memantau sebarang perancangan militan Deash yang berpotensi sebagai tindakan balas dendam ekoran kematian pemimpin mereka Abu Bakar Al-Baghdadi semasa operasi ketenteraan Amerika Syarikat di Syria pada Oktober tahun lalu,” katanya.
Omar berkata dalam usaha mengekang perancangan penculikan oleh kumpulan KFR serta ASG polis mengatur beberapa operasi khas secara bersepadu.
Katanya operasi selama satu bulan bermula 13 Oktober sehingga 11 November melibatkan Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah dan Pasukan Polis Marin ditumpukan di kawasan pulau dan Pondohan di perairan Semporna.
“Tahun ini kita akan memberikan fokus utama menjaga serta mengutamakan keselamatan Sabah dari ancaman luar bukan sahaja dalam PDRM tetapi kolaborasi dengan agensi penguatkuasa lain termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memastikan Sabah bebas dari pencerobohan dan penculikan.
“Rondaan di perairan Malaysia khususnya kawasan hitam yang dikenalpasti sering berlaku penculikan akan dipertingkat dan kita juga meningkatkan usaha mengesan kumpulan militan termasuk KFR, ASG dan Daesh,” katanya.
Utusan Borneo