Presiden UPKO Buat Tuduhan Tidak Berasas: PAS

Sahar Abdul Majid

SANDAKAN: Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dilihat ketandusan hujah apabila membuat tuduhan tidak berasas kepada PAS dalam siri kempen PRK Parlimen Kimanis bagi memenangkan calon WARISAN – Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah Sahar Abdul Majid berkata, presiden UPKO itu menuduh PAS adalah parti ekstrem agama dan membawa perpecahan kaum di Sabah dalam dalam siri kempennya dalam satu majlis sambutan Hari Krismas.

“Dia sebenarnya sudah ketandusan idea dan hujah kerana isu yang dimainkannya adalah isu yang tidak berbangkit lagi kerana rakyat telah faham bahawa itu adalah tuduhan liar dan tidak berasas,” katanya ketika mengulas dakwaan tidak berasas presiden UPKO itu.

Beliau menegaskan presiden Upko itulah yang lebih ekstrem dan bersifat oportunis dalam konteks politik Sabah.

“Hal ini kerana tindakan beliau (Madius) dan rakan-rakannya yang melompat parti keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan bergabung bersama WARISAN pasca PRU14 lalu sekaligus menyebabkan kerajaan UMNO BN yang memenangi PRU itu tumbang.

“Tindakan ini lebih mengganggu perpaduan kaum kerana tidak menghargai sokongan dan hasrat rakyat negeri ini yang mahu mengekalkan kerajaan BN melalui undi mereka,” katanya.

Beliau berkata pemimpin tidak berpendirian dan tiada setiakawan seperti ini harus ditolak rakyat.

“Madius turut direkodkan pada tahun lalu telah mengeluarkan kenyataan yang melampau apabila mendakwa pengislaman beramai-ramai di Tambunan lebih 30 tahun lalu adalah atas dasar paksaan dan mempunyai unsur ugutan dan ia telah mendapat bantahan ramai pihak,” katanya.

Dalam hal yang sama, Sahar mengajak Madius merujuk rakyat berbilang agama dan kaum di negeri Kelantan dan Terengganu yang ditadbir PAS dapat hidup harmoni serta bersatu padu di bawah pentadbiran PAS.

Beliau berkata mereka diberi hak untuk menjalankan perniagaan dan mengamalkan agama serta budaya masing-masing tanpa ada rasa bimbang dan takut.

“Malah dua buah patung Buddha terbesar di Asia Tenggara terletak di Kelantan iaitu Wat Protivihan di Kampung Berok dan Wat Machimmaram di Tumpat, justeru jika PAS ekstrem agama, tidak mungkin patung Buddha itu boleh wujud.

“Kami mempelawa pemimpin tertinggi UPKO itu datang ke Kelantan serta Terengganu dan boleh berdialong secara terbuka dengan rakyat  bukan Islam di negeri itu termasuk pemimpin kaum bukan Islam yang memegang jawatan dalam kerajaan negeri,” katanya.

Bagi rakyat Sabah, “kita mesti memberi peringatan kepada semua pihak termasuk pemimpin politik agar menghormati kepelbagaian kaum dan agama di negeri ini kerana asas kita adalah perpaduan dan keharmonian dalam kebebasan beragama menurut peruntukn undang-undang sedia ada.”

Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa masyarakat Sabah dari pelbagai kaum dan agama khususnya rakyat Kimanis tidak akan terpengaruh dengan niat jahat yang cuba disebarkan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan dan berkeyakinan rakyat Kimanis akan terus memberi sokongan dan undi kepada calon  BN.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *