PRK Kimanis: Ahli BERSATU Perlu Beri Sokongan Kepada Calon WARISAN

Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sabah, Datuk Hajiji Noor.

MEMBAKUT: Ahli dan penyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam kawasan Kimanis perlu memberi sokongan sepenuhnya kepada calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Januari ini.

Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sabah, Datuk Hajiji Noor, berkata mereka perlu berbuat demikian bagi memastikan kemenangan calon WARISAN dalam PRK itu.

WARISAN yang menerajui kerajaan negeri katanya, adalah kawan kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) yang menerajui Kerajaan Persekutuan.

“Oleh kerana PH dan WARISAN adalah kawan yang akrab, kita mesti tolong. Ini tanggungjawab kita sebagai ahli komponen PH.

“Dalam saat begini (PRK), kita kena tolong kawan kerana calon WARISAN ialah kawan kita, kerajaan PH kawan dengan WARISAN, maka kita kena turun dan berkempen, seterusnya mengundi WARISAN.

“Kita perlu memastikan calon WARISAN bukan sahaja menang, malahan memperoleh jumlah undi yang besar kali ini,” katanya ketika melawat bilik gerakan jentera BERSATU untuk PRK Kimanis di pejabat BERSATU Bahagian Kimanis, di Pekan Membakut, hari ini.

Yang turut hadir ialah ADUN Membakut, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Ketua BERSATU Bahagian Kimanis; ADUN Lumadan, Matbali Musah yang juga Ketua BERSATU Bahagian Sipitang dan Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Kimanis, Ahmad Yusof; Ketua Srikandi BERSATU Bahagian Kimanis, Dayang Hairena Ag Basir, dan Setiausaha Bahagian BERSATU Kimanis, Surayah Ibrahim.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, jentera BERSATU, termasuk Srikandi dan Armada BERSATU sedang bekerja keras dan berkempen bagi memastikan calon WARISAN dipilih menjadi Ahli Parlimen Kimanis.

“Bukan hanya ahli atau penyokong BERSATU sahaja, malahan mereka juga perlu memastikan ahli keluarga turut mengundi calon WARISAN.

“Ahli BERSATU mesti menjalin kerjasama dan hubungan baik bersama ahli WARISAN dan gabungan PH dalam PRK Parlimen Kimanis demi mencapai kemenangan,” tegasnya.

Berita Harian

185